Pemandu bas ekspres maut, lapan cedera dalam kemalangan di Kulai

 

Tangkap layar video tular

KULAI -- Seorang pemandu bas ekspres maut manakala lapan lagi cedera susulan kemalangan tiga kenderaan di Kilometer 32.5, Lebuh Raya Utara Selatan (PLUS) arah utara selepas susur keluar daerah ini, malam tadi.


Ketua Polis Daerah Kulai Supt Tok Beng Yeow dalam kenyataan hari ini berkata kemalangan yang berlaku kira-kira 9.30 malam itu melibatkan sebuah bas ekspres, sebuah kereta dan sebuah lori.


Beliau berkata mangsa yang maut merupakan seorang lelaki tempatan berusia 65 tahun disahkan meninggal dunia di tempat kejadian setelah mengalami kecederaan parah di bahagian badan dan kepala.


Katanya lapan individu lain yang merupakan penumpang bas ekspres berkenaan cedera ringan manakala pemandu lori dan pemandu kereta tidak mengalami sebarang kecederaan.


“Hasil siasatan awal mendapati kemalangan disyaki berlaku apabila lori yang sedang menghala ke arah utara telah terbabas dan tersangkut di bahagian tengah pembahagi jalan.


“Kemudian datang sebuah bas dari arah yang sama tidak sempat mengelak dan melanggar lori tersebut dari belakang, sebelum bas itu terbabas ke arah longkang di kiri jalan,” katanya dan kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 lapor Bernama. 


Sementara itu, Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kulai, Penolong Penguasa Bomba Fairuz Helmi Mohd Ali berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 10.17 malam dan 22 anggota termasuk dari BBP Skudai bergegas ke lokasi.

Next Post Previous Post