Tunjuk gambar mayat ‘anak’ atas pengusung, lelaki kebas RM1,300

Liang lahad disiapkan untuk jenazah anak lelaki terbabit. Gambar ihsan Harian Metro


KUALA LUMPUR— Tergamak menggunakan alasan anaknya meninggal dunia, seorang lelaki menghilangkan diri selepas mendapat wang RM1,300 daripada ahli jawatankuasa Masjid Kampung Salak Tinggi, Sepang pada Sabtu lalu.

Penipuan itu terbongkar, selepas ahli jawatankuasa masjid selesai menggali liang lahad untuk menguburkan ‘jenazah’ anak lelakinya di Tanah Perkuburan Islam Kampung Salak Tinggi.

Presiden Kelab Perantau 11 Mohamad Fairuz Mohamad berkata, ahli masjid telah menghubungi beliau selepas lelaki tersebut gagal dihubungi untuk urusan pengebumian.

Dalam kejadian itu, lelaki tersebut mendakwa mengenali Mohamad Fairuz dan berasal dari Kampung Salak Tinggi.

“Lelaki itu pada awalnya memaklumkan anak lelakinya berusia 20 tahun sedang menerima rawatan di Hospital Kuala Lumpur dan memerlukan bantuan kewangan.

“Kebetulan, nazir Mohamad Rosli Muhammad Hanafiah keluar bekerja. Isterinya yang berasa kasihan kemudian menghulurkan bantuan wang sebanyak RM300 kepadanya,” kata Mohamad Fairuz dipetik Harian Metro.

Lelaki itu kemudian menemui seorang ahli jawatankuasa kebajikan masjid namun kali ini memohon bantuan kononnya untuk urusan pengebumian anaknya.

Dia turut menunjukkan gambar mayat di atas pengusung selain menggunakan nama Mohamad Fairuz untuk memohon bantuan kewangan.

"Ahli jawatankuasa itu yang juga amil zakat kariah kampung berkenaan kemudian menyerahkan RM1,000 kepadanya selain membuat persiapan termasuk menggali kubur untuk jenazah.

"Saya amat terkejut apabila dimaklumkan lelaki terbabit menggunakan nama saya ketika meminta bantuan kewangan dengan mereka sedangkan saya sendiri tidak mengenalinya,” kata Mohamad Fairuz.

Laporan berhubung kejadian itu telah dibuat di Balai Polis Bandar baru Salak Tinggi, kelmarin.

Sementara itu Mohamad Rosli berkata, pemeriksaan dengan penduduk di Salak Baiduri mendapati tiada kes kematian lelaki berusia 20 tahun.

Katanya, ini pertama kali beliau berdepan penipuan berkaitan jenazah selama 18 tahun menjadi kariah masjid.

Dia tergamak menggunakan alasan anaknya meninggal dunia namun selepas dapat duit, terus hilang dan gagal dihubungi," katanya.

Tambah beliau, liang yang sudah digali itu kemudian digunakan untuk jenazah lain dan pihaknya akan berhati-hati pada masa hadapan untuk menggelakan kejadian berulang.

Sumber Harian Metro
Next Post Previous Post