Perkongsian Borneo Network gerak Steven bantu selesaikan kes scammer libatkan pesara guru

 


KUCHING-- Kisah bapa seorang pengguna Facebook, Liz Kamaruddin yang menjadi mangsa Scammer yang dikongsi Borneo Network kepada Timbalan Menteri Kewangan Sim Chee Keong membuahkan kejayaan apabila pelaku berjaya diberkas.




Berkongsi kejayaan itu, Steven menerusi hantaran Facebooknya berkata, suspek yang menipu mangsa hingga menyebabkan kerugian RM50,000 ditangkap hanya dalam tempoh tujuh hari selepas beliau dimaklumkan tentang kejadian tersebut.


"Minggu lepas ada orang (Borneo Network) tag saya kisah saudari Liz tentang ayahnya yang jadi mangsa scam.
 Ayahnya, Encik Kamaruddin ialah pesara guru berusia 85 tahun. "Saya terus hubungi Liz untuk tahu lebih lanjut. Dia beritahu (kepada) saya, ayahnya menangis setiap hari memikirkan nasib yang menimpa. 
 "Saya tak dapat bayangkan betapa beratnya ujian ayah Liz. Wang berjumlah RM50,000 hasil keringat selama ini hilang dalam sekelip mata.
"Itu satu hal. Lagi satu Liz beritahu saya, pihak berkuasa lambat sangat hendak ambil tindakan. Masa itu musim cuti akhir tahun. Dia risau kalau dilengah-lengahkan nanti scammer akan terlepas. 

"Berikutan itu, saya segera tinjau dan berjumpa pihak berwajib, termasuk Bank Simpanan Nasional dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk bertindak cepat," kata Ahli Parlimen Bukit Mertajam itu.

Tambah Steven, mujur, masih ada sinar disebalik kesedihan yang mana kerjasama antara Kementerian Kewangan, BSN, Lazada, pihak telco dan pihak polis telah berjaya memberkas scammer tersebut dan berjaya menyelesaikan siasatan dalam masa 7 hari sahaja.

"Tapi...ada satu benda yang paling menyakitkan hati, rupa-rupanya, scammer itu ialah pembantu rumah mangsa sendiri.

"Bayangkan, orang yang paling dia percaya pun boleh tikam belakang dia. Harapkan pegar, pegar makan padi," tegasnya.

Mengulas lanjut kes itu, beliau berkata, si scammer ini sememangnya mempunyai akses langsung kepada telefon mangsa dan telah guna kemahiran IT sehingga berjaya menggodam akaun BSN majikannya itu untuk beli lambakan barang kemas dan emas di Lazada. 

"Dia leburkan RM50,000 dan kemudian bercadang untuk terbang ke Filipina.

"Nasib baik polis kita cekap dan sempat menangkap si scammer pada saat-saat akhir, sebab dia sudah pun membeli tiket kapal terbang dan bersedia untuk larikan diri!," ujarnya.

Dalam pada itu, beliau memberitahu, kajian menunjukkan bahawa 37 peratus pendeposit mendedahkan kata laluan kepada orang lain. 

Ini jelasnya antara perkara yang paling serius yang harus dijaga. 

Tambahnya, tidak dinafikan, zaman sekarang ini memang mudah untuk melakukan pelbagai urusan perbankan melalui telefon. 

"Tapi tolong, jangan sesekali dedahkan kata laluan kita kepada orang lain.

"Saya nak ucap terima kasih banyak-banyak kepada Inspektor Sivalingam dan ASP James Lim, ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersil IPD Brickfields yang telah bertindak pantas menyelesaikan kes ini. 

"Pengalaman peribadi saya melihat kecekapan PDRM buat saya rasa amat kagum. Saya harap kes-kes lain juga akan mendapat perhatian sebegini rupa, supaya kita akan hidup lebih aman damai," katanya lagi.

Selain itu, Steven turut berkongsi pengalamannya ketika bertemu dengan Bank Negara, dan beliau telah menggariskan empat perkara utama yang perlu diteliti dan ditambahbaik segera.

Perkara utama itu, katanya, sistem keselamatan yang lebih utuh bagi mengelakkan kejadian scam. 

Kedua tindak balas (Response & Recovery), tindak balas pantas dari pihak berkuasa pelbagai jabatan dalam menjejaki scam dan memulangkan semula wang kepada mangsa.
 
Ketiga jaminan (Guarantee), perkongsian liabiliti antara bank dan pendeposit supaya pihak bank tidak mencuci tangan dan pendeposit terpaksa tanggung kerugian sepenuhnya.

Keempat, hukuman (Penalty) undang-undang yang lebih tegas terhadap pesalah laku. 

"Kita mesti kena perangi scam habis-habisan. Amat penting untuk keseluruhan rakyat dan kerajaan bersama-sama menggembleng tenaga dan lawan! 

"Sesiapa yang ada pengalaman kena scam, saya minta anda untuk terus kongsikan kisah anda, ataupun hantarkan cadangan-cadangan yang berkaitan untuk memerangi scam. 

"Saya rekod pandangan yang dihantar kepada saya selama ini untuk diserah kepada pihak berwajib.
 
"Saya akan terus lawan bermati-matian bagi menumpaskan sindiket-sindiket scam kewangan durjana. Ini soal wang simpanan rakyat, wang pesara, wang orang susah," tegasnya.


Next Post Previous Post