Penduduk Teku-Pasai mandi 'angin' tiga tahun, bil tetap datang hujung bulan


SIBU-- Penduduk rumah panjang di Teku-Pasai di sini sudah bertahun menghadapi masalah bekalan air bersih meskipun sudah mempunyai sistem paip air bermeter.

Salah seorang penduduk di situ menerusi akaun Facebooknya, Tanak Iban Mael memberitahu masalah itu dihadapi mereka semenjak tiga tahun lalu.

Jelasnya, hingga kini masalah itu gagal menemui jalan penyelesaian.

"Saya hendak berkongsi juga cerita (masalah bekalan air) kerana kawasan rumah panjang saya juga dalam Parlimen Sibu dan Dewan Undangan Negeri Bawang Assan.

"Kami juga mengalami masalah yang sama iaitu bekalan air bersih yang mana masalah ini sudah kami alami selama tiga tahun.

"Satu pun tidak ada jalan penyelesaian," luahnya.

Sehubungan itu, dia meminta wakil rakyat di kawasan itu termasuk Lembaga Air Sibu memberi perhatian segera untuk menangani masalah tersebut.

"Sila beri perhatian kepada warga kawasan Teku-Pasai, meter air hanya hiasan saja bil hujung bulan datang minta bayar tetapi air tak ada, mana jln penyelesaian," tegasnya.

LihatTutupKomentar