Pendekar seluruh dunia berkampung di Kuching mulai 27 Februari ini


KUALA LUMPUR, 9 Jan (Bernama) -- Seramai 800 pesilat daripada 16 negara bakal beraksi pada Kejuaraan Silat Premier Antarabangsa Sarawak yang bakal berlangsung di Stadium Tertutup Kuching pada 27 Feb hingga 5 Mac depan. 

Primier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata Sarawak bersedia menganjurkan kejuaraan sulung berkelas dunia itu selain menerima kehadiran ribuan pencinta silat dunia.
“Malah, persiapan dari  segi logistik  juga kini berada pada tahap terbaik menjelang kejuaraan bertaraf premier ini.

“Sambutan bagi edisi sulung  ini amat  baik  apabila negara seperti  Indonesia, Singapura dan United Kingdom akan turut serta menghangatkan bandar Kuching sepanjang seminggu penganjuran,” katanya dalam kenyataan hari ini. 
Dalam pada itu, Timbalan President Rumpun Silat Sarawak (RSS) berkata kejohanan berkenaan merupakan penanda aras dan perintis untuk RRS menganjurkan kejohanan siri silat Sarawak pada masa akan datang. 

Katanya RSS komited memastikan perjalanan kejohanan terbabit dijayakan dengan cemerlang. 
“Kami tidak mahu menjadikan kejohanan ini sebagai ‘one-off’ sahaja, sebaliknya berhasrat  mencipta sejarah kerana Malaysia belum pernah menganjurkan kejohanan seperti itu.

“Saya berharap para pesilat dapat mempamerkan aksi berkelas dunia serta menunjukkan semangat kesukanan yang tinggi seiring dengan nilai yang dimiliki oleh seorang pesilat,” katanya. 
Kejuaraan   Silat   Premier   Antarabangsa   Sarawak   2023   menawarkan   hadiah   wang   tunai berjumlah USD20,000 (RM87,510)  bagi   juara   keseluruhan  selain tali   pinggang kejuaraan diperkenalkan buat pertama kali bagi juara keseluruhan.

-- BERNAMA

 

LihatTutupKomentar