Mengaku edar dadah sejak 2022, dua lelaki miliki rekod jenayah lampau diberkas

 




Resep Sawi Gulung Sehat, Tanpa Tepung

KUCHING-- Dua lelaki yang mempunyai rekod jenayah lampau dicekup polis kerana disyaki terlibat dalam pengedaran dadah di tepi gelanggang bola keranjang, Stadium Taman Mewah, Jalan Arang, petang semalam. 


Ketua Polis Daerah Padawan Superintenden Abang Zainal Abidin Abang Ahmad berkata, suspek masing-masing berusia 34 dan 37 tahun itu ditangkap sekitar jam 5.30 petang oleh sepasukan anggota dari Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah (BSJND). 


"Kedua-dua suspek yang sedang menaiki sebuah kereta ditahan di lokasi tersebut dan hasil pemeriksaan ke atas suspek menjumpai satu peket plastik lutsinar kecil ketulan-ketulan kristal disyaki dadah jenis syabu dengan berat kasar 0.60 gram di dalam poket sebelah kanan seluar pendek bertulis "SENSEN". 


"Pemeriksaan lanjut ke atas kenderaan telah menjumpai satu peket plastik lutsinar yang berisi ketulan-ketulan kristal disyaki dadah jenis Syabu dengan berat kasar  5.16 gram di atas dashboard kenderaan tersebut," katanya menerusi kenyataan media hari ini. 


Tambahnya, pemeriksaan selanjutnya telah menjumpai satu peket plastik lutsinar yang berisi ketulan mampat dedaun kering disyaki dadah jenis ganja, erat kasar 50.10 gram yang disembunyikan di bawah" armrest" kenderaan tersebut. 


"Berat dadah ganja yang dirampas adalah seberat 50.10 gram bernilai RM2,505 dan berat keseluruhan dadah syabu yang dirampas adalah seberat 5.76 gram bernilai RM576. 


"Kesemua barang kes dirampas dan kedua-dua saspek dibawa balik ke pejabat BSJND Padawan untuk tindakan selanjutnya," ujarnya. 


Selain itu, jelas Abang Zainal, ujian saringan air kencing kedua-dua suspek yang mempunyai rekod jenayah lampau berkaitan dadah turut diuji positif dadah jenis amphetamine dan methamphetamine. 


Mengulas lanjut, katanya siasatan awal mendapati kedua-dua suspek mengaku terlibat dengan pengedaran dadah sejak awal tahun 2022.


"Suspek yang berusia 37 tahun mengaku dadah yang dirampas adalah miliknya dan mendedahkan mendapat bekalan dadah syabu secara bank in dengan seorang lelaki dengan kekerapan dua kali sebulan," jelasnya. 


Berikutan itu tegasnya kedua-dua suspek ditahan dan akan direman hari ini untuk siasatan lanjut. 


"Usaha mendapatkan maklumat lanjut dari suspek dan mengesan punca bekalan dadah akan diusahakan," ujarnya lagi. 


Katanya, kes disiasat di bawah Seksyen 39A (2) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952, Seksyen 39A (1) ADB 1952 dan Seksyen 12 (2) akta yang sama. 


Next Post Previous Post