Indonesia - Malaysia berganding perangi diskriminasi anti sawit

 

Resep Sawi Gulung Sehat, Tanpa Tepung

PUTRAJAYA, 12 Jan (Bernama) -- Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Fadillah Yusof akan berlepas ke Indonesia pada Februari untuk bertemu rakan sejawatannya dan pihak berkepentingan lain bagi memerangi lobi anti minyak sawit.


Beliau akan menyusun strategi dan memperkukuh usaha untuk memerangi kesan negatif yang menyelubungi komoditi itu.



Kunjungan Fadillah tersebut mungkin dilihat sebagai susulan daripada pertemuan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dengan Presiden Indonesia Joko Widodo baru-baru ini. Semasa lawatan itu, kedua-duanya telah bersetuju untuk bekerjasama memerangi "diskriminasi" terhadap komoditi tersebut. Malaysia dan Indonesia merupakan negara pengeluar minyak sawit terbesar.


“Malaysia dan Indonesia komited untuk mengukuhkan kerjasama dan muafakat mereka dalam (industri) kelapa sawit melalui Majlis Negara Negara Pengeluar Minyak Sawit (CPOPC) dengan kemasukan empat negara pemerhati -- iaitu Colombia, Ghana, Honduras dan Papua New Guinea -- untuk menjadi ahli penuh,” Fadillah memberitahu pemberita selepas merasmikan Seminar Tahunan Kajian dan Tinjauan Ekonomi Minyak Sawit (R&O) 2023 Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) 2023 di sini hari ini.



“Adalah diharapkan bahawa pakatan negara-negara pengeluar minyak sawit akan dapat bekerja secara sinergi dalam memperkasakan peranan CPOPC sebagai blok ekonomi yang lebih dinamik dan berimpak dalam melindungi kepentingan industri kita,” katanya.


Fadillah berkata negara pengeluar minyak sawit perlu lebih diselaraskan dalam usaha mereka menyampaikan pendirian terhadap perkara dasar yang menjejaskan kesejahteraan sosio-ekonomi mereka.



“Dari aspek ini, saya khususnya merujuk kepada Kesatuan Eropah (EU) dan Amerika Syarikat (AS), dua blok ekonomi yang sentiasa melemparkan tuduhan tidak berasas, mencemarkan usaha minyak sawit lestari dan memulakan sekatan ke atas produk minyak sawit kita dengan matlamat untuk melumpuhkan industri minyak sawit secara keseluruhannya,” katanya.


Beliau berkata pengeluar minyak sawit tidak boleh bertindak bersendirian dalam menghadapi cabaran itu, terutamanya dengan langkah terbaharu EU. Blok itu telah memperkenalkan undang-undang baharu Peraturan Penebangan Hutan EU (EUDR) mengenai import komoditi terpilih termasuk minyak sawit, yang mengaitkannya dengan penebangan hutan dan degradasi hutan.



Perundangan baharu itu katanya, dijangka menjadi halangan kepada perdagangan. Komoditi itu tertakluk kepada usaha wajar yang dijangka meningkatkan kos pentadbiran dan pengeluaran.


Selain itu, "keperluan kebolehkesanan" juga dijangka akan memberi kesan kepada pekebun kecil jika mereka dikecualikan di bawah perundangan. Pekebun kecil secara berkumpulan adalah penting dalam rantaian bekalan global, katanya.


Fadillah berkata Malaysia melaksanakan penambahbaikan berterusan dalam penanaman kelapa sawit dan pemprosesan minyak sawit dengan mengguna pakai (pelbagai) inisiatif, termasuk memperkenalkan Pensijilan Minyak Sawit Lestari Malaysia (MSPO), yang diwajibkan sejak 1 Jan, 2020.


EU mungkin mahu melindungi produknya sendiri dengan mengenakan pelbagai halangan perdagangan kerana minyak sawit merupakan komoditi yang sangat kompetitif berbanding minyak sayuran lain dan ringgit Malaysia yang semakin lemah berbanding dolar AS, katanya.


Beliau berkata minyak sawit telah menjadi "minyak makan pilihan", kerana harga dan kegunaannya yang serba boleh. Memperluas dan mempelbagaikan industri kelapa sawit dan meneroka penggunaan khusus pasaran produk minyak sawit akan meningkatkan bahagian pasaran global Malaysia untuk komoditi itu.


Fadillah berkata permintaan global untuk minyak sawit juga meningkat seiring dengan pemulihan ekonomi global dan ini telah meningkatkan permintaan bagi komoditi itu dalam kedua-dua sektor makanan dan bukan makanan.


“Pelaburan yang berterusan oleh pemain minyak sawit dalam oleokimia berasaskan sawit dan produk nilai tambah akan menyediakan peluang pertumbuhan,” katanya.


Walaupun kadar faedah meningkat dan kebimbangan terhadap kemelesetan, pasaran keseluruhan minyak sawit Malaysia dijangka kekal teguh disokong oleh peningkatan dalam pengeluaran, harga yang kompetitif dan permintaan yang kukuh, tambah beliau.


Bagi lobi anti minyak sawit, beliau berkata mungkin terdapat keperluan untuk mempertimbangkan pembabitan pakar bagi menentang tuduhan EU itu. Pilihan lain ialah "menghentikan eksport ke EU dan menumpukan pada negara-negara lain. Kita perlu berbincang hal ini dengan Indonesia,” katanya.


-- BERNAMA


 





LihatTutupKomentar