Lori tangki musnah terbakar

Kredit Syaban Hari


BINTULU -- Sebuah lori tangki musnah terbakar dalam insiden yang berlaku berhampiran Ladang Sime Darby di Jalan Pesisir Pantai Bintulu-Miri awal pagi tadi.

Menurut Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Bomba Negeri Sarawak, sepasukan anggota bomba dari BBP Kidurong dengan bantuan BBP Samalaju bergerak ke lokasi kejadian sejurus menerima panggilan berhubung kejadian pada jam 7.39 pagi.

"Sampai di lokasi kejadian, pasukan bomba mendapati sememangnya berlaku kebakaran yang melibatkan bahagian tayar lori sebelum ianya merebak ke bahagian atas dan memusnahkan hampir keseluruhan bahagian lori," ujarnya.

Kredit Syaban Hari


Maklumat awal yang diterima mengesahkan insiden kebakaran tidak mendatangkan kecederaan atau kemalangan jiwa kerana pemandunya berjaya keluar menyelamatkan diri.

Siasatan terperinci katanya akan dijalankan bagi mengetahui punca sebenar yang menyebabkan lori tangki terbabit terbakar.

Kebakaran yang berlaku turut mengakibatkan barisan kenderaan yang cukup panjang dan turut dilihat beberapa buah kenderaan turut bergerak ke belakang bagi menjauhkan kenderaan dari kawasan insiden.
Next Post Previous Post