Lelaki maut kemalangan malam Tahun Baru Cina

Gambar PGO Sarawak
MIRI: Seorang lelaki maut manakala seorang lagi mengalami kecederaan setelah kereta yang dipandu keduanya terbabit dalam kemalangan yang berlaku di Jalan Jee Foh Utama pada jam 11.58 malam tadi.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Bomba Sarawak mengesahkan, mangsa maut berusia 37 tahun.
Jelasnya, sepasukan anggota bomba dari BBP Miri Sentral bergerak ke lokasi kejadian sejurus menerima panggilan berhubung insiden bagi menjalankan kerja-kerja menyelamat serta mengeluarkan mangsa terlibat.
"Sampai di lokasi kejadian, pasukan bomba mendapati berlakunya kemalangan yang melibatkan dua buah kereta jenis Honda HRV dan Honda Accord," ujarnya.
Pasukan bomba katanya bertindak mengeluarkan mangsa yang menggunakan kereta Honda HRV yang mana pemeriksaan yang dijalankan pasukan perubatan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengesahkan mangsa sudah meninggal dunia.
Pemandu kereta Honda Accord bagaimanapun katanya telah dibawa oleh orang awam ke hospital sebelum pasukan bomba tiba.
Mayat mangsa kemudiannya diserahkan kepada PDRM untuk tindakan lanjut.
Next Post Previous Post