Anwar Ibrahim mengembalikan kegemilangan Malaysia di mata dunia - Abang Jo


KUCHING-- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim diyakini mampu mengembalikan martabat dan kegemilangan Malaysia di persada dunia.

Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, dengan pengalaman luas Anwar dan hala tuju yang jelas dapat membantu negara untuk kembali sebagai negara yang ulung.

"Saya percaya bahawa dengan pengalaman Anwar dahulu dan hala tuju yang jelas, saya percaya bahawa kita akan mengembalikan lagi negara Malaysia sebagai negara yang ulung dengan kekuatan yang ada pada kita. 

"Kita bukan sahaja mengangkat martabat Malaysia tetapi juga dapat memainkan peranan penting di atas landskap dunia pada hari ini.

"Saya percaya Datuk Seri Anwar dengan latar belakang beliau dapat mengangkat Malaysia sebagai negara yang dihormati oleh negara luar," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Jamuan Negeri di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK), di sini, malam tadi.

Tambah Abang Johari, apa yang menjadi asas adalah sama-sama bekerja untuk membangunkan negara dalam keadaan stabil.

"Kita telah melihat pada penggal yang lepas negara kita tidak mempunyai keadaan politik yang aman dan kita terpaksa mencari jalan bagaimana hendak menyatupadukan rakyat Malaysia supaya kita dapat berkhidmat dan memberi bakti bagi mengangkat negara Malaysia sebagai negara yang tersohor dan dihormati oleh rakan-rakan kita yang lain.

"Bagi kita di Sarawak kita dapat memakmurkan negeri kita dan seterusnya satu ikatan perpaduan yang kukuh di antara kita dalam masyarakat berbilang kaum dan kepercayaan yang boleh hidup di bawah satu bumbung tidak kira latar belakang dan kita terus akan mendukung yang baik demi kesejahteraan rakyat," ujarnya.

Sehubungan itu, beliau berharap kerajaan persekutuan boleh bekerjasama bagi meneruskan pembangunan ekonomi yang mampan untuk menaik taraf hidup masyarakat di luar bandar dan bandar di Sarawak.

 

Next Post Previous Post