Warga emas melecur ketika cuba selamatkan diri


TANJUNG MANIS— Seorang wanita warga emas melecur dalam satu kebakaran melibatkan sebuah rumah setingkat di Kampung Paloh Lot di sini, pagi semalam.


Mangsa, Kamariah Masani, 63, melecur pada bahagian tangan dan belakang kepala manakala suaminya, 72, serta empat lagi penghuni lain yang berusia 12 hingga 56 tahun tidak mengalami sebarang kecederaan.


Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kes itu jam 6.55 pagi dengan menggerakkan anggota Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tanjung Manis ke lokasi kejadian yang jaraknya dua jam perjalanan menggunakan bot.


"Kebakaran melibatkan rumah kediaman jenis tidak kekal setingkat telah musnah keseluruhan.


Kebakaran telah berjaya dapat dipadam Pasukan Bomba Komuniti Kampung Paloh yang menggunakan kenderaan persendirian bergerak ke lokasi kejadian pada jam 5.20 pagi," katanya dalam kenyataan.


Katanya, pada mulanya tindakan kerja-kerja pemadaman dilakukan 10 anggota Bomba Komuniti dibantu 20 penduduk kampung berjaya mengawal kebakaran.


"Pasukan Bomba Komuniti memadam kebakaran menggunakan hos paip dan baldi sumber air daripada pili paip dan longkang, api berjaya dikawal jam 6.40 pagi.


"Anggota Bomba Tanjung Manis tiba di tempat kejadian jam 9.59 pagi, seterusnya mengambil alih operasi kebakaran tersebut," katanya.


Katanya, pasukan Bomba bertindak memantau keadaan lokasi, didapati api telah dipadam sepenuhnya oleh Bomba Komuniti. 


"Pihak Bomba mengambil maklumat dan menjalankan Pusat Sehenti Pasca Insiden (PSPI) di tempat kejadian,"jelasnya.

Next Post Previous Post