Wanita Orang Asli maut dipijak gajah


KUANTAN—Seorang wanita Orang Asli maut akibat cedera parah dipercayai kerana dipijak gajah di Kampung Simoi Baru, Pos Betau di Kuala Lipis, awal pagi tadi. 


Ketua Polis Daerah Lipis Supt Azli Mohd Noor berkata pihaknya dimaklumkan mengenai kejadian pada 4.40 pagi dan mangsa Wak Angkat Yok Tong, 39, ditemukan di dalam kawasan pokok pisang oleh ahli keluarganya. 


"Siasatan awal mendapati mangsa bersama lapan ahli keluarganya sedang tidur di rumah kayu berdinding buluh yang dikelilingi pokok pisang dan berhampiran kebun getah. 


"Mereka terjaga kerana dinding rumah bergoyang dipercayai akibat dilanggar gajah menyebabkan mereka semua melarikan diri," katanya menerusi kenyataan di sini hari ini, menurut Bernama.


Azli berkata ahli keluarga mangsa yang berkumpul semula selepas keadaan tenang, menyedari mangsa hilang menyebabkan mereka mencarinya di sekitar rumah. 


Mayat mangsa dibawa ke Hospital Kuala Lipis untuk bedah siasat. 

Next Post Previous Post