Ketua balai polis didenda RM6,500 terima suapan ketika PKP

Ketua balai polis terima suapan daripada pemilik sebuah pusat hiburan, Ketua balai polis didenda RM6,500 terima suapan ketika PKP
Abdul Halim Alias didenda RM6,500 atas kesalahan menerima suapan daripada seorang pemilik sebuah pusat hiburan yang beroperasi semasa PKP dua tahun lalu.  Gambar kredit Utusan Malaysia

MELAKA—Gara-gara menerima suapan daripada pemilik sebuah pusat hiburan yang melanggar prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), seorang bekas ketua balai polis berpangkat subinspektor didenda RM6,500 oleh Mahkamah Sesyen Ayer Keroh di sini hari ini.


Hakim Elesabet Paya Wan menjatuhkan hukuman itu selepas tertuduh, Abdul Halim Alias, 59, mengaku bersalah setelah pertuduhan dibacakan jurubahasa mahkamah.


Mengikut pertuduhan, Abdul Halim yang ketika itu Ketua Balai Polis Tengkera menerima suapan sebanyak RM6,000 daripada seorang pemilik sebuah pusat hiburan yang beroperasi di Kota Shahbandar, Banda Hilir bagi mengelak pemilik premis berkenaan dikenakan tindakan kerana melanggar PKP, lapor Bernama.


Abdul Halim didakwa melakukan kesalahan itu antara pukul 5 petang hingga 6.15 petang di Balai Polis Tengkera pada 11 Ogos 2020, di bawah Seksyen 165 Kanun Keseksaan kerana menerima suapan yang membawa hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.


Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Haresh Prakash Somiah manakala tertuduh diwakili peguam Azrul Zulkifli Stork.

LihatTutupKomentar