Usul undi percaya kepimpinan Anwar dibentang 19 Dis ini


KUALA LUMPUR—Mesyuarat Pertama Penggal Pertama Parlimen ke-15 akan berlangsung selama dua hari bermula 19 Dis dengan antara agenda utama ialah pemilihan Yang Dipertua Dewan Rakyat dan usul undi percaya terhadap kepimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.


Berdasarkan Notis Mesyuarat Pertama dikeluarkan Setiausaha Dewan Rakyat Dr Nizam Mydin Bacha Mydin untuk edaran kepada Ahli-Ahli Parlimen, pemilihan dan angkat sumpah Yang Dipertua Dewan Rakyat adalah antara aturan urusan persidangan itu di peringkat permulaan.


Ketika ini, Yang Dipertua Dewan Rakyat disandang Tan Sri Azhar Azizan Harun.


Aturan urusan mesyuarat diikuti dengan upacara mengangkat sumpah kesemua 222 Ahli Parlimen yang menang pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).


Usul undi percaya terhadap kepimpinan Perdana Menteri yang menjadi tumpuan terkandung pada nombor lapan di bawah aturan urusan mesyuarat.


Anwar dalam sidang media sulung selepas mengangkat sumpah jawatan Perdana Menteri ke-10 pada 24 Nov berkata satu usul undi percaya akan dibentangkan pada persidangan Parlimen pada 19 Dis bagi menamatkan soal keabsahan beliau selaku perdana menteri.


Sidang Parlimen itu menjadi sidang Dewan Rakyat pertama di bawah kepimpinan Anwar.


Urusan mesyuarat sidang itu turut memasukkan sesi rang undang-undang dan urusan kerajaan yang lain.


Ahli Parlimen Kota Melaka Khoo Poay Tiong yang telah menerima notis berkenaan dalam mesej ringkas kepada Bernama berkata: "Jumpa 19/12 (19 Dis) di Parlimen".


Bagi usul undi percaya kepada Perdana Menteri, Ahli Parlimen Sibuti Lukanisman Awang Sauni berkata Gabungan Parti Sarawak (GPS) patuh dengan titah Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah untuk membentuk kerajaan Persekutuan melalui formula kerajaan perpaduan.


Beliau berkata GPS komited terhadap pembentukan kerajaan yang stabil demi kesejahteraan rakyat dari pelbagai sudut terutama ekonomi, kos sara hidup, pendidikan dan hak Sarawak dalam Perlembagaan dihargai serta dilaksana.


"GPS akan mengambil bahagian dalam kerajaan sebagai rakan kongsi atau equal partner. Moga sokongan kepada perdana menteri demi kestabilan dapat melabuhkan tirai krisis politik yang berlaku pada penggal lepas," katanya ketika dihubungi hari ini.


Lukanisman berharap persidangan Parlimen itu akan membentangkan akta seperti Akta Pembiayaan Dana Politik dan bukan sesi untuk meraikan kejayaan kerajaan perpaduan yang baru dibentuk.

Next Post Previous Post