Ugut sebar gambar bogel bekas teman wanita, juruteknik dipenjara 6 bulan
KUALA TERENGGANU— Seorang juruteknik dijatuhi hukuman penjara enam bulan oleh Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan melakukan ugutan untuk menyebarkan gambar bogel bekas teman wanitanya, Januari lepas.
Majistret Noor Mazrinie Mahmood menjatuhkan hukuman itu ke atas Wan Azuan W Ismail, 29, selepas dia mengaku bersalah melakukan perbuatan tersebut terhadap seorang wanita berusia 22 tahun melalui panggilan telefon di Kuala Ibai, dekat ini pada 7.48 pagi, 25 Jan lepas.
Mahkamah memerintahkan tertuduh menjalani hukuman penjara bermula dari tarikh dia ditahan pada 15 Okt lepas, lapor Bernama.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 507 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum dua tahun jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa Inspektor Khairi Mohamed Noor manakala tertuduh tidak diwakili peguam.