Kes seludup hidupan liar dari Semenanjung ke Sarawak meningkat

Ribuan (tengah) ketika sidang media selepas mesyuarat Operasi Bersepadu Khazanah (OBK) 2022 di sini hari ini.  Gambar kredit FB PDRM

KUCHING— Sebanyak 23 kertas siasatan dibuka melibatkan pelbagai kesalahan berkaitan jenayah penyeludupan hidupan liar terancam di seluruh negara sepanjang tahun ini, kata Penolong Ketua Pengarah Kastam (Penguatkuasaan) Ribuan Abdullah. 


Beliau berkata setakat ini, belum ada sebarang pendakwaan bagi kesemua kes yang disiasat mengikut Akta Kastam 1967 dan Akta Perdagangan Antarabangsa Mengenai Spesies Terancam 2008, dengan nilai rampasan mencecah RM73.4 juta. 


“Sebahagian kes masih di peringkat untuk keizinan (maklum balas) daripada Timbalan Pendakwa Raya dan sebahagian lagi masih di peringkat siasatan,” katanya dalam sidang media selepas mesyuarat Operasi Bersepadu Khazanah (OBK) 2022 di sini hari ini. 


Turut hadir Timbalan Ketua Polis Negara Tan Sri Razarudin Husain dan Ketua Pengarah Perhilitan Datuk Abdul Kadir Abu Hashim.


Ribuan juga berkata Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) menyerahkan 15 kes kepada pihak berkuasa hidupan liar di Sabah dan Sarawak membabitkan cubaan membawa haiwan terbabit tanpa kelulusan merentasi kedua-dua negeri, lapor Bernama.


Katanya terdapat peningkatan kes pergerakan aktiviti perdagangan hidupan liar dari Semenanjung ke Sabah dan Sarawak tahun lepas namun tidak memberikan jumlah kes yang terlibat secara spesifik.


Razarudin pula berkata Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah diperuntuk 50 perjawatan baharu bagi mengendali Biro Kawalan Jenayah Hidupan Liar dan semua pegawai yang terlibat ditempatkan di Bukit Aman.


Beliau berkata penubuhan biro itu adalah sebahagian daripada usaha untuk menguatkuasakan OBK dari aspek perisikan, siasatan dan tangkapan bersama agensi berkaitan. 


“Setakat ini, sudah ada 16 anggota yang terdiri daripada pegawai polis dan awam. Ini menunjukkan kesungguhan kerajaan dalam memastikan khazanah negara seperti spesies Harimau Malaya terpelihara dan kita mahu meningkatkan populasinya,” katanya. 


OBK diterajui Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) serta PDRM bersama JKDM dengan penyertaan pelbagai pihak berkaitan di peringkat pesekutuan dan negeri bagi menangani isu penyeludupan keluar khazanah negara.


Operasi itu juga bertujuan memastikan agar Malaysia tidak menjadi pusat transit bagi aktiviti perdagangan haram hidupan liar dari seluruh dunia.

Next Post Previous Post