Ugut bunuh guna kapak, berang dituduh buang sampah


KUCHING-- Berang kerana tidak puas hati dituduh membuang sampah di kawasan rumah sepupunya, seorang lelaki mengamuk menggunakan kapak mahu membunuh suami sepupunya itu.


Kejadian berlaku di sebuah rumah tidak bernombor di Kampung Nyabut, Trombol, Jalan Telaga Air di sini, jam 9.30 malam kelmarin.


Ketua Polis Daerah Padawan, Deputi Superintendan Abang Zainal Abidin Abang Ahmad berkata, suspek berusia 31 tahun datang ke rumah sepupunya seorang wanita berusia 37 tahun dalam keadaan agresif kerana mencari suaminya berusia 40 tahun.


"Suspek datang membawa sebilah kapak sambil berteriak memanggil nama suaminya  yang berada dalam rumah. 


"Oleh kerana bimbang sesuatu berlaku, suaminya tidak menyahut pangglan tersebut dan hanya berdiam diri di dalam rumah sahaja, dalam keadaan yang agak kecoh tersebut, bapa kepada suspek berusia 64 tahun turut sampai di rumah tersebut bagi menenangkan keadaan," katanya dalam kenyataan hari ini.


Katanya,suspek yang dalam keadaan agresif menjerit-jerit dan mahu menikam dan membunuh suaminya. 


"Bapanya cuba merampas kapak daripada tangan suspek tetapi tindakan suspek menarik kapak tersebut menyebabkan bapanya sendiri mengalami luka di bahagian tapak tangan akibat terkena kapak tersebut. 


"Sepupu wanitanya kemudiannya tampil ke balai membuat laporan polis untuk tindakan siasatan yang selanjutnya. 


"Susulan itu Bahagian Siasatan Jenayah Daerah(BSJD), Ibu Pejabat Polis Daerah(IPD) Padawan telah menangkap suspek di kediamannya jam 6.30 petang semalam," katanya.


Beliau berkata,turut dirampas ialah  senjata yang digunakan oleh suspek untuk menakutkan mangsa kejadian iaitu sebilah kapak besi.


"Suspek telah dipohon reman di Mahkamah Kuching semalam dan perintah reman selama 4 hari telah diperoleh.


"Kes disiasat mengikut Seksyen 324  Kanun Keseksaan dan Seksyen 506 Kanun Keseksaan," tegasnya.

Next Post Previous Post