TPM Singapura utus ucapan tahniah kepada Fadillah Yusof

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof menerima panggilan telefon daripada rakan sejawatnya dari Singapura, Heng Swee Keat pada Selasa. Gambar Unit Komunikasi Kementerian Perladangan dan Komuniti.

SINGAPURA—Timbalan Perdana Menteri Singapura yang juga Menteri Penyelaras bagi Dasar Ekonomi Heng Swee Keat hari ini mengucapkan tahniah kepada rakan sejawatannya dari Malaysia Datuk Seri Fadillah Yusof atas pelantikannya dalam kabinet kerajaan baru-baru ini.


“Menyampaikan ucapan tahniah kepada Datuk Seri Fadillah Yusof menerusi perbualan telefon hari ini, atas pelantikannya sebagai Timbalan Perdana Menteri Malaysia dan Menteri Perladangan dan Komoditi. Ini amat penting kerana Datuk Seri Fadillah ialah Timbalan Perdana Menteri pertama dari Malaysia Timur,” tulisnya dalam laman Facebooknya.


Heng berkata kedua-dua mereka menegaskan semula pentingnya hubungan dua hala antara kedua-dua negara, selain berbincang tentang cara untuk meningkatkan lagi kerjasama, termasuk dengan Sabah dan Sarawak.


"Banyak yang boleh kita lakukan bersama dalam bidang seperti ekonomi digital, tenaga hijau dan pertanian," Heng tulis lagi.


Heng juga mendoakan semoga Fadillah berjaya dalam tugas baharunya.


Fadillah, 60, naib presiden kanan Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), telah berkhidmat sebagai Ahli Parlimen Petra Jaya sejak 2004.


PBB ialah parti komponen di bawah Gabungan Parti Sarawak (GPS) yang merupakan sebahagian daripada kerajaan perpaduan yang dipimpin oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.


Majlis angkat sumpah Jemaah Menteri berlangsung pada 3 Dis 2022.

Next Post Previous Post