Tiga suspek menagih dan mengedar dadah dicekup


BINTULU: Tiga lelaki warga tempatan yang terlibat dalam kegiatan mengedar serta menagih dadah diberkas polis dalam serbuan yang dijalankan ke atas sebuah hotel bajet di kawasan pasar lama Bintulu pada semalam.


Ketua Polis Daerah Bintulu, Superintendan Batholomew Umpit dalam kenyataannya hari ini berkata, turut dirampas dari kesemua suspek yang berumur 18 hingga 28 tahun itu ialah 5.2 gram dadah jenia syabu.


"Ujian saringan air kencing yang dijalankan ke atas semua suspek mengesahkan ketiga-tiganya positif mengambil dadah jenis Methamphetamine dan Amphetamine," ujar beliau.


Kes ini katanya akan disiasat di bawah Seksyen 39A(1) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukkan hukuman penjara tidak lebih lima tahun beserta sebatan tidak kurang dari tiga kali sekiranya didapati bersalah.


Kes ini juga akan disiasat di bawah Seksyen 15(1)ADB 1952 yang boleh dikenakan denda tidak lebih RM5,000 atau penjara tidak lebih dua tahun jika disabitkan salah.


'Tangkapan ini merupakan salah satu usaha PDRM bagi menangani penyalahgunaan dadah dalam kalangan masyarakat di samping mencegah aktiviti jenayah di daerah Bintulu," tegas beliau.


Batholomew dalam masa sama menasihatkan orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan sebarang aktiviti penyalahgunaan dadah di daerah ini agar memaklumkan kepada PDRM IPD Bintulu di talian 086-318304.

Next Post Previous Post