Tiga pembantu kesihatan dipenjara sehari, denda terima rasuah urus jenazah

Tiga pembantu perawatan kesihatan di Hospital Kajang terima rasuah urus jenazah, Tiga pembantu kesihatan dipenjara

SHAH ALAM-- Tiga pembantu perawatan kesihatan di Hospital Kajang dipenjara sehari dan denda masing-masing antara RM3,000 dan RM5,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini selepas mengaku bersalah menerima rasuah berkaitan kerja-kerja pengurusan jenazah.


Hakim Rozilah Salleh menjatuhkan hukuman itu terhadap Sharum Hassim, 42, Muhd Azhar Nahar, 45, dan Mohd Nizam Noordin, 42, selepas kesemua tertuduh mengaku bersalah bagi pertuduhan pilihan.


Mahkamah menjatuhkan hukuman denda RM3,000 kepada Sharum manakala Azhar dan Nizam masing-masing didenda RM5,000.


Mahkamah turut memerintahkan ketiga-tiga lelaki terbabit menjalani hukuman penjara tersebut bermula hari ini dan dipenjara enam bulan lagi sekiranya gagal membayar denda itu.


Mengikut pertuduhan pilihan, Sharum, Azhar dan Nizam yang merupakan pembantu perawatan kesihatan di Unit Forensik Hospital Kajang, masing-masing menerima wang berjumlah antara RM300 dan RM600 daripada Nur Azlan Azmi melalui akaun mereka tanpa sebarang balasan daripada Nur Azlan yang diketahui olehnya ada kaitan dengan tugas rasmi tertuduh iaitu bagi kerja-kerja pengurusan jenazah.


Sharum didakwa melakukan kesalahan itu di Maybank Cawangan Taman Ria Jaya Sungai Petani, Kedah manakala Azhar dituduh melakukan kesalahan itu di Maybank Cawangan Kajang, Hulu Langat dan Nizam pula dituduh melakukan kesalahan itu di Bank Islam Cawangan Kajang, Hulu Langat. 


Mereka dituduh melakukan kesalahan itu antara 21 Mei hingga 9 Dis 2020, lapor Bernama.


Kesemua tertuduh didakwa mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya. 


Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Mohd Aliff Shaharuzaman manakala ketiga-tiga lelaki itu diwakili peguam Mohd Fikah Sanusi.

LihatTutupKomentar
Cancel

PERHATIAN: Pihak BorneoNework tidak akan bertanggungjawab langsung ke atas komen-komen yang diberikan oleh pembaca kami. Sila pastikan anda berfikir panjang terlebih dahulu sebelum menulis komen anda disini. Pihak BorneoNework juga tidak mampu untuk memantau kesemua komen yang ditulis disini. Segala komen adalah hak dan tanggungjawab anda sendiri.