Tanah runtuh: 4 mayat ditemukan bergulung dengan khemah


BATANG KALI-- Empat mayat mangsa tragedi tanah runtuh di tapak perkhemahan Father’s Organic Farm, Gohtong Jaya di sini, ditemukan dalam keadaan bergulung dengan satu kanvas khemah pada 11.04 pagi.


Ketua Polis Daerah Hulu Selangor Supt Suffian Abdullah berkata keempat-empat mayat itu terdiri daripada satu lelaki dan wanita dewasa serta seorang kanak-kanak lelaki dan perempuan.


"Kesemua mayat berkenaan ditemukan dalam satu khemah yang sama di Sektor C pada kedalaman tujuh meter, lengkap berpakaian dan sudah mula mereput.

 

"Buat masa ini identiti mereka masih belum dikenal pasti. Jadi, polis tidak dapat mengesahkan sama ada kesemua mayat ini merupakan anggota keluarga atau tidak," katanya pada sidang media di Pos Kawasan Tempat Kejadian (PKTK) di sini hari ini, lapor Bernama.


Kesemua mayat berkenaan telah dibawa ke Hospital Sungai Buloh untuk proses bedah siasat.


Sementara itu, Suffian berkata sehingga hari ini, polis menerima tiga laporan orang hilang melibatkan mangsa yang belum ditemukan dan mayat yang belum dikenal pasti.


Beliau berkata mayat lelaki dewasa yang ditemukan pagi semalam iaitu korban ke-26 tragedi merupakan satu daripada yang tersenarai dalam laporan tersebut namun telah dituntut. 


Menurut Suffian, berbaki tiga lagi mangsa masih hilang, operasi mencari dan menyelamat (SAR) akan diteruskan walaupun sudah genap seminggu kejadian itu berlaku dengan memfokuskan di sektor A dan C.


Sementara itu, Timbalan Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Selangor Wan Md Razali Wan Ismail berkata pasukan mencari menemukan petanda awal keberadaan keempat-empat mayat itu pada 10.43 tadi di sektor berkenaan.


"Khemah tersebut dikesan pada 10.43 pagi bersama-sama barang peribadi yang lain melalui kerja penggalian menggunakan jengkaut sebelum khidmat anjing pengesan K9 digunakan untuk menjejak mangsa dan berjaya menemukan empat mayat dalam khemah yang sama,” katanya.


Mengenai skop kawasan pencarian yang memasuki hari ketujuh operasi, Wan Md Razali berkata anggota Angkatan Tentera Malaysia dan Pasukan Gerakan Am ditugaskan seawal 9 pagi untuk membuat pemeriksaan termasuk di sungai berhampiran bagi mengesan jika ada mangsa yang terkeluar dari kawasan runtuhan.


Tinjauan Bernama di PKTK mendapati beberapa pengamal media diberi peluang melihat sendiri lokasi kejadian selain mengambil gambar dan video manakala kenderaan pasukan terlibat SAR keluar masuk bagi menghantar anggota untuk bertukar shif penugasan serta menghantar makanan.

Next Post Previous Post