Sokong lebih ramai MP etnik Dayak, Cina dilantik timbalan menteri - Nanta


KUCHING— Setiausaha Agung Gabungan Parti Sarawak, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi menyokong penuh cadangan agar lebih ramai Ahli Parlimen daripada etnik Dayak dilantik sebagai Timbalan Menteri di dalam barisan Kerajaan Perpaduan.


Katanya, barisan pemimpin daripada etnik minoriti seperti Bidayuh, Lun Bawang, Kayan/Kenyah, Melanau serta Iban ini juga harus diberikan peluang untuk bersama-sama terlibat dalam kerajaan itu.


"Ahli-ahli Parlimen daripada pelbagai kaum ini jelas berkebolehan dan sudahpun berkhidmat selama beberapa penggal sebagai Ahli Parlimen dan Senator. 


"Hampir kesemua mereka pernah berkhidmat sebagai Timbalan Menteri dan salah seorang daripada mereka juga pernah dilantik sebagai Timbalan Yang di-Pertua Dewan Negara," katanya dalam kenyataan hari ini.


Beliau berkata, atas dasar itu, pengalaman luas barisan pemimpin itu perlulah dilihat sebagai pertimbangan untuk dilantik sebagai Timbalan Menteri didalam Kerajaan Perpaduan.


"Tidak dilupakan, Ahli Parlimen daripada komuniti Cina Sarawak juga perlu diberi peluang untuk dilantik sebagai Timbalan Menteri. Ini termasuklah calon daripada parti DAP. 


"Formasi sebegini akan mencerminkan perpaduan di kalangan pemimpin berbilang kaum di negara ini di bawah pentadbiran ‘Kerajaan Perpaduan’," ujarnya.


Ahli Parlimen Kapit itu berkata, antara Ahli Parlimen yang boleh diberi pertimbangan termasuklah Datuk Willie Mongin, (Puncak Borneo-Bidayuh), Datuk Henry Sum Agong (Lawas-Lun Bawang), Datuk Hajah Hanifah Tun Abdul Taib (Mukah-Melanau), Datuk Anyie Ngau (Baram-Kayan/Kenyah), Datuk Wilson Ugak Kumbong (Hulu Rejang-Iban) dan Dato Sri Sophia Brodie (Sri Aman-Iban).


"Namun, sudah tentu saya memahami sepenuhnya bahawa Perdana Menteri Datuk  Seri Anwar Ibrahim mempunyai hak untuk memilih dan memutuskan sesiapa sahaja yang dirasakan layak untuk menjawat jawatan Timbalan Menteri. 


"Walaubagaimanapun, sebagai pemimpin yang mewakili etnik Dayak di GPS adalah menjadi tanggung jawab saya untuk membawa sentimen dan harapan masyarakat Dayak Sarawak ke Kerajaan Pusat," jelasnya.


Menurutnya lagi, beliau percaya Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg yang juga Pengerusi GPS, berkongsi pandangan yang sama mengenai perkara itu.


"Kejayaan cemerlang Abang Johari  dalam menerajui Sarawak adalah kerana gaya dan citarasanya yang inklusif dan tentunya pemahaman sepenuhnya tentang hakikat bahawa Sarawak adalah negeri yang sarat dengan kepelbagaian meliputi aspek kaum, bahasa, budaya, agama dan komposisi.


"Saya percaya dengan kebijaksanaan Perdana Menteri dalam memperhalusi dan mempertimbangkan perkara ini. Harapan saya, siapapun yang dipilih haruslah mengambil amanah ini dengan penuh tanggungjawab dan berintegriti demi memastikan agenda pemulihan ekonomi negara dan kesejahteraan rakyat dapat direalisasikan dengan jayanya," katanya.

Next Post Previous Post