Sidang Parlimen ke-15 pertama uji keabsahan PM Anwar, lantik Speaker baharu

Persidangan Dewan Rakyat yang pertama di bawah Kerajaan Perpaduan, Sidang Parlimen ke-15 pertama uji keabsahan PM Anwar, lantik Speaker baharu
Keabsahan Anwar sebagai Perdana Menteri dijangka tidak tergugat susulan Perjanjian Persefahaman Kerjasama dimeterai antara gabungan yang membentuk Kerajaan Perpaduan, pada 16 Dis. Gambar arkib

KUALA LUMPUR-- Persidangan Dewan Rakyat yang pertama di bawah Kerajaan Perpaduan bermula Isnin ini akan menjadi perhatian kerana agenda utamanya antara lain menyaksikan pembentangan usul undi percaya bagi keabsahan pelantikan Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri ke-10.


Usul undi percaya itu bertujuan membuktikan Anwar, yang mengangkat sumpah jawatan pada 24 Nov, mendapat sokongan Ahli-Ahli Parlimen bagi memimpin kerajaan baharu selepas keputusan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) menyaksikan tiada parti atau gabungan politik mendapat majoriti mudah.


Berdasarkan Aturan Urusan Mesyuarat Dewan Rakyat, usul undi percaya terhadap kepimpinan Ahli Parlimen Tambun itu terkandung pada nombor lapan urusan persidangan, lapor Bernama.


Keabsahan Anwar sebagai Perdana Menteri dijangka tidak tergugat susulan Perjanjian Persefahaman Kerjasama dimeterai antara gabungan yang membentuk Kerajaan Perpaduan, pada 16 Dis.


Lima gabungan politik utama - Pakatan Harapan (PH), Barisan Nasional (BN), Gabungan Parti Sarawak (GPS), Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dan Parti Warisan (Warisan) - yang membentuk Kerajaan Perpaduan menandatangani perjanjian persefahaman kerjasama bagi menjamin kestabilan politik serta memacu ekonomi negara.


Antara kandungan perjanjian itu ialah kegagalan Ahli Parlimen dalam gabungan Kerajaan Perpaduan mengundi atau menyokong Perdana Menteri dalam usul-usul berkait dengan usul percaya, perbekalan atau sebarang usul berbentuk prosedur yang mempunyai kesan kepada keabsahan Kerajaan Persekutuan, dikira meletak jawatan. 


Mesyuarat Pertama Penggal Pertama Parlimen ke-15 berlangsung selama dua hari itu, turut menyaksikan pemilihan Yang Dipertua Dewan Rakyat baharu, Ahli-ahli Dewan Rakyat yang menang pada PRU15 mengangkat sumpah dan pemilihan Timbalan-Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat. 


Pada 2 Dis, media melaporkan Tan Sri Azhar Azizan Harun mengesahkan akan mengosongkan kedudukannya sebagai Yang Dipertua Dewan Rakyat sebelum Parlimen bersidang.


Menurut laporan media, Ahli Parlimen Sungai Petani Datuk Johari Abdul disebut-sebut menjadi pilihan Pakatan Harapan (PH) sebagai Yang Dipertua Dewan Rakyat menggantikan Azhar.


Turut dilaporkan media, Perikatan Nasional (PN) mencalonkan bekas Menteri Dalam Negeri Tan Sri Mohd Radzi Sheikh Ahmad bagi jawatan itu.


Sementara itu, Ahli Parlimen Lanang daripada DAP Alice Lau dan Ahli Parlimen Cameron Highlands Ramli Md Nor daripada Barisan Nasional (BN) dilapor dicalonkan bagi jawatan Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat.


Turut berada dalam senarai menurut laporan media ialah bekas Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang) Datuk Mas Ermieyati Samsudin yang dicalonkan PN untuk jawatan sama.


Urusan mesyuarat persidangan itu turut memasukkan pembentangan rang undang-undang dan urusan kerajaan yang lain.


Anwar pada sidang media selepas Mesyuarat Kabinet pertama 5 Dis lepas berkata persidangan Parlimen pertama itu juga akan membentang dan meluluskan peruntukan khas atau mini bajet bagi tujuan membayar emolumen penjawat awam bagi Januari.

LihatTutupKomentar