Sarawak eksport RM3.05 billion kayu

Nilai eksport industri perkayuan Sarawak meningkat, Sarawak eksport RM3.05 billion kayu

KUCHING-- Nilai eksport industri perkayuan Sarawak meningkat sebanyak 4.5 peratus kepada RM3.05 bilion pada suku ketiga tahun ini berbanding RM2.92 bilion dalam tempoh sama pada 2021.


Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berkata Jepun kekal sebagai pengimport utama produk perkayuan Sarawak yang menyumbang sebanyak RM1.88 bilion atau 62 peratus daripada jumlah keseluruhan nilai eksport dalam tempoh tersebut.


“Pasaran utama lain ialah India sebanyak RM357 juta, negara-negara Timur Tengah (RM134 juta), China (RM131 juta) dan Taiwan (RM117 juta).


“Dari segi produk, papan lapis menunjukkan peningkatan nilai eksport iaitu sebanyak 2.5 peratus kepada RM1.67 bilion pada suku ketiga 2022 berbanding RM1.63 bilion dalam tempoh sama pada 2021,” katanya pada sesi penggulungan pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak mengenai Bajet 2023 negeri hari ini, lapor Bernama.


Sementara itu, Awang Tengah yang juga Menteri Sumber Asli dan Pembangunan Bandar Kedua Sarawak berkata kerajaan negeri akan terus komited untuk meningkatkan nilai eksport dengan menggalakkan lebih banyak pengeluaran produk dengan nilai tambah seperti perabot dan produk kejuruteraan kayu serta menggiatkan usaha penyelidikan dan pembangunan (R&D).


Beliau berkata melalui Strategi Pembangunan Pasca-COVID-19 2030 (PCDS 2030), kerajaan Sarawak komited untuk meningkatkan nilai pendapatan eksport barangan kayu kepada RM8 bilion setahun menjelang 2030.


“Sasaran eksport ini memberi fokus kepada pengeluaran produk dengan nilai tambah tinggi seperti perabot, produk kayu kejuruteraan, glulam dan produk berasaskan buluh serta menggiatkan usaha penyelidikan dan pembangunan produk,” katanya. 

LihatTutupKomentar