Dua bookie bola sepak Piala Dunia diberkas di Matang Jaya


KUCHING--Dua bookie bola sepak Piala Dunia dan ejen nombor loteri haram  diberkas dalam dua serbuan berasingan polis di Matang Jaya di sini, semalam.


Ketua Polis Daerah Padawan, Superintendan Abang Zainal Abidin Abang Ahmad berkata, dalam serbuan pertama di sebuah premis makanan jam 3.45 petang, sepasukan pegawai dan anggota Jabatan Siasatan Jenayah(JSJ), Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Padawan telah menahan seorang remaja wanita berusia 18 tahun. 


"Anggota serbuan telah membuat tangkapan dan rampasan kerana suspek disyaki menjadi ejen judi pertaruhan bola dan ajen jual nombor loteri tanpa lesen. 


"Turut dirampas ialah dua unit telefon, empat keping kertas jadual perlawanan bola sepak Piala Dunia 2022 serta wang tunai berjumlah RM420," katanya dalam kenyataan hari ini.



Katanya, suspek mengaku bekerja sebagai ejen judi pertaruhan bola (bookie bola) dan agen jual nombor tanpa lesen.


"Dalam serbuan kedua di sebuah gerai jual buah-buahan jam 4.45 petang, anggota serbuan membuat tangkapan terhadap seorang lelaki berusia 24 tahun.


"Suspek turut dipercayai menjadi ejen judi pertaruhan bola sepak  dan ejen jual nombor loteri tanpa lesen," katanya.


Katanya, rampasan dua unit telefon bimbit dan wang tunai berjumlah RM540 turut dilakukan.


Kes disiasat mengikut Seksyen 6(3) Akta Pertaruhan1953 dan Seksyen 4A(a) Akta Rumah Judi Terbuka 1953.

Next Post Previous Post