RAM sahkan penarafan Sarawak Energy dengan AAA/Stabil


KUALA LUMPUR—RAM Ratings telah mengesahkan semula penarafan AAA/Stabil ke atas Program Sukuk Musyarakah (2011/2036) Sarawak Energy Bhd (SEB) yang bernilai RM15.0 bilion.


Pengesahan itu juga memaparkan jangkaan bahawa perniagaan kumpulan berkenaan kekal berdaya tahan, disokong oleh perjanjian pembelian tenaga jangka panjang yang dimeterai dengan kumpulan pengguna pukal dalam Koridor Tenaga Diperbaharui Sarawak (SCORE).


Selain itu, penarafan tersebut juga mengambil kira hubungan teguh SEB dengan kerajaan negeri Sarawak serta Kerajaan Persekutuan.


“Berdasarkan metodologi penarafan untuk entiti berkaitan kerajaan, kumpulan ini berkemungkinan besar akan menerima sokongan luar biasa daripada kerajaan sekiranya berdepan sebarang masalah kewangan. SEB juga adalah milik penuh kerajaan Sarawak menerusi Setiausaha Kewangan Negeri,” kata agensi penarafan itu dalam kenyataan hari ini, lapor Bernama.


RAM Ratings juga menyifatkan SEB telah mencatat prestasi kewangan kukuh bagi tahun kewangan berakhir Disember 2021 dan masih mengekalkan momentum pertumbuhannya dalam separuh pertama tahun ini.


Perolehan hasilnya turut meningkat 9.5 peratus kepada RM6.05 bilion dalam tahun kewangan 2021 dan seterusnya menokok 13.9 peratus tahun ke tahun kepada RM3.30 bilion bagi separuh pertama tahun fiskal 2022, sebahagian besarnya selepas pengoperasian penuh Fasa Tiga kemudahan lebur Press Metal Aluminium Bhd pada Oktober 2021.


Sejajar dengan pendapatan lebih kukuh, dana kumpulan daripada liputan hutang operasi dan gearing masing-masing meningkat kepada 0.22 kali dan 1.40 kali dalam separuh pertama tahun kewangan 2022 (tahun kewangan 2020: 0.15 kali dan 1.95 kali).


“Perniagaan SEB secara asasnya bergantung kepada sumbangan daripada pelanggan SCORE, terutama Press Metal (mendapat penarafan AA3 /Stabil/P1 oleh RAM) dan anak syarikatnya, PMB Silicon Sdn Bhd.


“Bagaimanapun, kami berpuas hati dengan pencapaian prestasi Press Metal yang memberangsangkan setakat ini,” kata RAM Ratings.

Next Post Previous Post