Majlis Khatamal Al Quran SJK Chung Hua Debak meriah

Aktiviti Majlis Khatamal Al-Quran peringkat sekolah, Majlis Khatamal Al Quran SJK Chung Hua Debak meriah , Sekolah Jenis Kebangsaan SJK(C)

BETONG: Setelah dua tahun tertangguh, akibat pandemik Covid-19, pihak Sekolah Jenis Kebangsaan SJK(C) Chung Hua, Debak mengorak langkah meneruskan aktiviti Majlis Khatamal Al-Quran peringkat sekolah terbabit, kelmarin yang melibatkan seramai 31 orang peserta yang terdiri daripada murid tahun lima dan enam di sekolah berkenaan yang menyertai program tersebut dan kali terakhir diadakan pada 2019.


Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-kanak Dan Kesejahteraan Komuniti Sarawak, Mohammad Razi Sitam berkata setelah dua tahun tidak berkesempatan menganjurkan program yang menjalinkan ukwah antara kaum yang ada di sini, penampilan dengan jumlah yang lebih ramai penyertaan daripada sebelumnya cukup mengagumkan. 



"Alhamdulillah, peningkatan dari segi penyertaan peserta yang khatam Al Quran membuktikan ramai pelajar Melayu turut menerima sistem pembelajaran SJK bagi penduduk di Debak. 


"Statistik yang kita dimaklumkan, pelajar SJK(C) Chung Hua Debak pada masa sekarang merangkumi 50 peratus adalah dari Kaum Melayu dan selebihnya ada dari Kaum Cina, Bidayuh, Melanau dan Iban. 



"Kerjasama yang ditunjukkan oleh ibu bapa, pihak sekolah dan semua yang terlibat mengekalkan perpaduan ini supaya menjadi salah satu model kepada konsep perpaduan di Sarawak.


"Ini merupakan salah satu contoh sekolah perpaduan, yang menyatukan pelbagai kaum di kawasan Saribas," katanya. 


Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Khatamal Al-Quran anjuran SJK(C) Chung Hua, Debak yang berlangsung di Dewan Millennia, Debak pada kelmarin. 


Tambahnya, memaklumkan bahawa Premier Sarawak telah meluluskan RM1.5 juta bagi menaiktaraf bangunan SJK(C) Chung Hua Debak.


"Usaha pihak lembaga sekolah dalam merealisasikan hasrat untuk menaiktaraf bangunan sekolah telah diajukan permohonan kepada kerajaan Negeri namun masih menunggu maklum balas dari Kementerian Pendidikan untuk peringkat yang seterusnya," ujarnya. 


Dalam majlis tersebut ADUN Saribas itu juga menyerahkan sumbangan cek projek Kecil Luar Bandar (MRP) dari Pusat Khidmat DUN beliau sebanyak RM20,000 kepada Lembaga Pengurusan Sekolah SJK(C) Chung Hua Debak dan masing-masing RM10,000 kepada Persatuan Chung Hua Debak dan Persatuan Temple Charity Board Debak. 


Turut hadir Guru Besar, Chai Siao Wen, ketua-ketua Jabatan, Kaum dan Masyarakat Sekitar Debak.

LihatTutupKomentar