Kota Samarahan tetap keutamaan Rubiah meskipun sudah bergelar Timbalan Menteri


KUCHING-- Kota Samarahan tetap menjadi keutamaan Datuk Rubiah Wang dan dengan ruang yang ada beliau akan sedaya upaya untuk membawa lebih banyak peluang khususnya pembangunan menerusi Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah.


Ahli Parlimen Kota Samarahan itu berkata, tanggungjawab yang diberikan sebagai Timbalan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah merupakan satu tanggungjawab yang amat besar dan bermakna. 



"Apatah lagi sebagai seorang yang lahir daripada kawasan perkampungan serta desa adalah menjadi impian dan hasrat saya supaya dapat melihat pembangunan yang sekata antara bandar dan luar bandar.


"Walau apapun, Kota Samarahan tetap menjadi keutamaan saya dan dengan ruang yang ada saya sedaya upaya untuk membawa lebih banyak peluang khususnya pembangunan menerusi Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah," katanya menerusi kenyataan media hari ini. 



Tambah Rubiah, beliau berharap dengan amanah dan tanggungjawab yang diberikan ini akan memotivasikan semua pihak untuk memberikan khidmat yang terbaik kepada masyarakat di seluruh negara amnya di luar bandar dan khususnya di Sarawak serta Kota Samarahan.



"Alhamdulillah, saya telah selesai mengangkat sumpah jawatan Timbalan Menteri Persekutuan di hadapan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al Mustafa Billah Shah ibni Almarhum Sultan Ahmad Shah Al-mustain Billah dalam majlis Istiadat Pengurniaan Surat Cara Pelantikan dan Istiadat Mengangkat Sumpah Jawatan dan Setia Serta Sumpah Simpan Rahsia di Istana Negara petang tadi.



"Sesungguhnya, saya sangat berbesar hati dengan ruang serta peluang yang diberikan kepada saya untuk menjadi sebahagian daripada anggota pentadbiran dalam kerajaan perpaduan ini yang julung kali dibentuk sejak tempoh kemerdekaan dan pembentukan Persekutuan ini," katanya lagi. 



Dalam pada itu, beliau menzahirkan penghargaan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim serta Premier Sarawak, Tan Sri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg selaku Pengerusi Gabungan Parti Sarawak (GPS) yang telah memberikan kepercayaan kepadanya untuk menggalas tanggungjawab ini.



"Syukur, saya merupakan antara 8 wanita daripada 27 Timbalan Menteri serta antara enam daripada Sarawak yang diberikan kepercayaan di barisan anggota pentadbiran Kerajaan Perpaduan kali ini.



"Terima kasih juga kepada semua yang mengucapkan ucapan tahniah serta doa dan ingatan kepada saya yang tidak putus-putus sejak daripada detik pengumuman yang dibuat oleh Perdana Menteri pada semalam.


"Sesungguhnya, saya amat menghargai segala kata-kata semangat serta doa yang dititipkan kepada saya. Terima kasih," ujarnya. 

Next Post Previous Post