Kerajaan akan terus bantu Persatuan Bisaya Sarawak, Ting

Antonio menyampaikan cenderamata kepada Leonard (kiri) yang hadir mewakili Ting sempena majlis jamuan tahunan Persatuan Bisaya Sarawak cawangan Miri.

MIRI—Kerajaan Sarawak akan terus membantu Persatuan Bisaya Sarawak bagi mengurangkan beban yang ditanggung persatuan dalam menjaga kebajikan kebajikan ahli-ahli.


Timbalan Menteri Pelancongan Sarawak Datuk Sebastian Ting Chiew Yew berkata, kerajaan mengambil berat kebajikan persatuan ini sebagai platform untuk mengukuhkan perpaduan dan kerjasama masyarakat itu.


Leonard menyampaikan insentif pendidikan kepada salah seorang wakil pelajar sempena majlis jamuan tahunan Persatuan Bisaya Sarawak cawangan Miri.


“Persatuan etnik seumpama ini memainkan peranan penting dalam mewakili masyarakat berbilang kaum di Sarawak. 


Justeru itu, kita akan terus membantu terutama dari segi kewangan untuk membolehkan persatuan mengadakan aktiviti yang bermanfaat kepada ahli-ahli,” katanya berucap pada majlis jamuan tahunan Persatuan Bisaya Sarawak (PBS) cawangan Miri, semalam.


Hadir sama Pengerusi PBS Miri merangkap Setiausaha Tetap, Kementerian Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan Sarawak Datu Antonio Kahti Galis.


Teks beliau disampaikan oleh Penghulu Leonard Fong.


Ting dalam pada itu memuji Persatuan Bisaya Sarawak Miri yang sentiasa aktif dalam program rasmi kerajaan termasuk Pesta MIri, sambutan Gawai Dayak  dan istiadat perbarisan sempena sambutan Hari Jadi Tuan Yang Terutama Yang di-Pertua Negeri Sarawak Tun Pehin Sri Abdul Taib Mahmud ke-86 di Miri Miri pada Oktober lalu.


“Selain itu, PBS Miri yang ditubuhkan sejak 1989 amat komited dalam menjayakan Pesta Babulang dan Lumba Kerbau yang dianjurkan sejak 2004 di Limbang.


Saya berharap persatuan akan terus bergiat aktif dalam program yang dianjurkan sama ada di peringkat Miri mahupun Sarawak. Pada masa yang sama, terus menjaga kebajikan ahli-ahli PBS,” kata Ting lagi.


Pada majlis tersebut, Ting mengumumkan geran RM5,000 bagi membiayai aktiviti tahunan PBS Miri.


Terdahulu, Antonio berkata kali terakhir majlis makan malam tahunan itu diadakan pada 2019 berikutan pandemik Covid-19.


“Walaupun persatuan tidak dapat menganjurkan aktiviti dalam tempoh dua tahun tersebut, namun atas sokongan semua ahli persatuan dapat menjalankan aktiviti amal dan memberi bantuan kebajikan kepada  ahli-ahli dan keluarga.


Pada tahun hadapan, persatuan akan menganjurkan banyak aktiviti sosioekonomi dan rerkreasi untuk ahli selain program perayaan di Miri,” katanya.


Turut disampaikan pada majlis itu insentif pendidikan untuk anak-anak ahli yang cemerlang dalam keputusan peperiksaan.

Next Post Previous Post