JPM nafi Ismail Sabri dilantik Pengerusi Petronas


KUALA LUMPUR-- Jabatan Perdana Menteri (JPM)  memaklumkan maklumat tular di media sosial bertajuk 'Ismail Sabri dilantik Pengerusi Petronas' adalah palsu.


Sehubungan itu, JPM dalam hantaran menerusi Facebook semalam mengingatkan orang ramai agar tidak menyebarkan atau berkongsi sebarang maklumat yang tidak pasti atau palsu.


JPM turut meminta orang ramai supaya merujuk kepada akaun media sosial rasmi Jabatan Perdana Menteri untuk berita sahih di semua platform media sosial iaitu akaun Facebook Jabatan Perdana Menteri, akaun Twitter @jpmgov, Instagram @jabatanperdanamenteri dan TikTok @jpmgov, lapor Bernama.


Terdahulu tular di media sosial apabila orang ramai berkongsi poster yang memaparkan gambar pertemuan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan bekas Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, dengan beberapa maklumat yang menyatakan kononnya Anwar secara dasar telah bersetuju dengan pelantikan Ismail Sabri sebagai Pengerusi Petronas. 

Next Post Previous Post