Dua maut, tujuh cedera termasuk kanak-kanak dalam nahas di Jalan Batu Kawa


KUCHING- Dua maut manakala tujuh cedera termasuk dua kanak-kanak tidak sedarkan diri dalam satu kemalangan di hadapan Paragon Concrete, Jalan Batu Kawa di sini malam tadi. 


Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Bomba Sarawak berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kemalangan itu sekitar jam 11.24 malam dan mengarahkan jentera serta anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Batu Lintang ke lokasi kejadian.



"Komander operasi melaporkan kemalangan melibatkan dua buah kenderaan iaitu sebuah Toyota Mark X dan sebuah Proton Saga.


"Kemalangan tersebut mengakibatkan dua mangsa dari Proton Saga tersepit manakala lima mangsa yang lain bersama dua mangsa dari kenderaan Toyota telah berjaya keluar dari kenderaan dengan bantuan orang awam sebelum ketibaan pihak Bomba," katanya dalam kenyataan. 



Jelasnya, keseluruhan mangsa terlibat dari dua buah kenderaan tersebut seramai 9 orang.


Tambahnya, anggota Bomba mengeluarkan dua mangsa yang tersepit dari Proton Saga menggunakan peralatan penyelamatan. 


"Seorang mangsa lelaki tersepit pada ruangan pemandu dan seorang lagi pada tempat duduk penumpang bahagian belakang.


"Dua mangsa lelaki tersepit (seorang pemandu dan seorang penumpang belakang) Proton Saga telah disahkan meninggal dunia oleh pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dilokasi," dedahnya. 


Sementara itu, seorang mangsa lelaki masih sedarkan diri manakala dua mangsa kanak-kanak lelaki tidak sedarkan diri telah dibawa oleh EMRS Bomba ke Hospital Umum Untuk tindakan selanjutnya. 


Selain itu, seorang mangsa lelaki dan seorang mangsa wanita telah dibawa oleh ambulans KKM ke hospital untuk tindakan selanjutnya.


"Dua lagi mangsa dari kenderaan Toyota telah dibawa ke hospital oleh ambulans KKM untuk tindakan selanjutnya," tambahnya. 


Mengulas lanjut, katanya, setelah selesai mengeluarkan mangsa, anggota melakukan pembersihan di lokasi kejadian untuk membersihkan tumpahan minyak dan sisa-sisa kemalangan.


Setelah memastikan keadaan di lokasi selamat, anggota bersama jentera bertolak balik ke Balai.


Operasi ditamatkan pada 12.23 tengah malam. 

Next Post Previous Post