Jho Low ‘jual diri’ sebagai lepasan Wharton, jumpa pelbagai personaliti

Ahli perniagaan dalam buruan Jho Low dibuang daripada Wharton School, University of Pennsylvani, Jho Low ‘jual diri’ sebagai lepasan Wharton

KUALA LUMPUR— Mahkamah Tinggi di sini hari ini diberitahu bahawa ahli perniagaan dalam buruan Low Taek Jho, atau Jho Low, telah dibuang daripada Wharton School, University of Pennsylvania yang merupakan fakulti perniagaan tertua di dunia.


Perkara itu didedahkan oleh peguam Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah ketika beliau menyoal bekas Pengurus Perhubungan AmBank Joanna Yu Ging Ping pada perbicaraan kes Datuk Seri Najib Tun Razak membabitkan penyelewengan RM2.3 bilion dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB).


Muhammad Shafee: Adakah anda tahu apa kelayakan yang dimiliki Jho Low?


Yu: Ya, ada kaitan dengan Wharton.


Muhammad Shafee: Baru-Baru ini saya mendapati beliau dibuang daripada Wharton. Malah beliau tidak pernah menamatkan pengajian di Wharton. Adakah anda menyedarinya?


Yu: Oh! Saya tidak tahu perkara itu.


Muhammad Shafee: Namun beliau meyakinkan anda bahawa beliau adalah lepasan Wharton?


Yu: Ya.


Muhammad Shafee: Anda setuju dengan saya secara amnya Jho Low akan menjual dirinya sebagai seorang ahli perniagaan yang baik untuk bank menjalinkan hubungan perniagaan?


Yu: Saya percaya begitulah.


Saksi pendakwaan ke-41 itu juga berkata beliau pernah mendengar Jho Low menyebut mengenai Gabenor Bank Negara Malaysia, Perdana Menteri Malaysia, kerabat diraja dari Jordan iaitu Putera Turki Al-Saud dan Ketua Pegawai Eksekutif PetroSaudi International Ltd (PSI) Tarek Obaid, lapor Bernama.


"Beliau akan kata beliau akan bertemu seseorang dari Kuwait. Saya hanya mendengarnya dan membiarkan ia begitu sahaja kerana perkara itu tidak penting buat saya," kata saksi berusia 51 tahun itu.


Peguam itu kemudian beralih kepada isu membabitkan akaun Najib dan menyoal Yu mengenai usaha bank tersebut untuk menghubungi tertuduh secara langsung bagi sebarang kebenaran atau penjelasan mengenai akaun beliau dan siapa yang dipertanggungjawab untuk menanganinya.


Saksi itu berkata beliau tidak pernah menghubungi Najib secara langsung kerana tidak mempunyai akses untuk berbuat demikian.


Najib, 69, berdepan empat pertuduhan menggunakan kedudukan untuk memperoleh suapan berjumlah RM2.3 bilion daripada dana 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram.


Perbicaraan di hadapan Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah bersambung esok.

LihatTutupKomentar