Industri sawit perlu sedia guna teknologi baharu, Fadillah

Penggunaan teknologi baharu meningkatkan kecekapan dan pengeluaran industri sawit, Industri sawit perlu sedia guna teknologi baharu
Penggunaan teknologi baharu dapat meningkatkan kecekapan dan pengeluaran industri sawit. Gambar hiasan

KUALA LUMPUR--Industri sawit perlu sentiasa bersedia untuk menerima perubahan dari segi penggunaan teknologi baharu dalam era penuh mencabar serta dapat meningkatkan kecekapan dan pengeluaran, kata Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof.


Beliau yang juga Menteri Perladangan dan Komoditi berkata perubahan itu termasuk menggunapakai konsep Revolusi Industri Keempat (IR4.0), penggunaan kecerdasan pintar (AI) dan Internet Pelbagai Benda (IoT) seperti teknologi pendigitalan dan automasi dalam penambahbaikan proses pengilangan sedia ada.


"Konsep kilang sawit pintar berteraskan pembuangan sifar merupakan hala tuju industri sawit dan ini mampu memberi dimensi baharu dalam sektor pengilangan, terutama dari segi aspek kecekapan dan pemantauan operasi yang berterusan serta mesra pengguna.


“(Antara) kilang sawit pintar dibangunkan adalah atas inisiatif Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) dengan kerjasama pihak industri iaitu Fusionex Group," katanya dalam ucapan perasmian Seminar Kebangsaan Mengenai Alam Sekitar, Kualiti Pengilangan dan Penapisan Minyak Sawit 2022 (POMREQ 2022) di sini, hari ini, lapor Bernama.


Ucapan beliau dibacakan oleh Ketua Setiausaha kementerian itu, Datuk Zurinah Pawanteh.


Fadillah juga menyarankan supaya usaha mengurangkan jejak karbon bagi produk sawit dititikberakan sejajar dengan perkembangan dan permintaan produk mesra alam yang telah menjadi permintaan pasaran antarabangsa.


Ini juga seiring dengan komitmen Malaysia dalam mencapai sasaran Pelepasan Gas Rumah Kaca (GHG) sifar bersih seawal-awalnya pada 2050.


Berikutan itu, kata beliau, industri sawit mempunyai peranan yang penting terutamanya meningkatkan usaha pemerangkapan biogas di kilang sawit. 


“MPOB misalnya telah membangunkan teknologi pemerangkapan biogas dan bekerjasama dengan pihak industri untuk meluaskan aplikasi biogas. 


“Mengikut data MPOB setakat 2021, sejumlah 135 buah kilang sawit yang telah memasang sistem biogas iaitu 30 peratus daripada jumlah kilang sawit sedia ada manakala 15 buah kilang dalam proses pembinaan dan 130 buah kilang dalam perancangan pemasangan sistem biogas," katanya.


Dalam pada itu, Fadillah turut berkongsi mengenai populariti minyak sawit keledak bagi pasaran eksport terutama ke negara-negara Eropah sebagai bahan mentah untuk pengeluaran biobahan api.


“Minyak sawit berkualiti rendah dari kilang sawit yang perlu diasingkan ini bukan sahaja dapat meningkatkan kualiti minyak sawit secara keseluruhan tetapi mampu memberi pendapatan tambahan dengan mengeksport minyak keledak tersebut.


"Ia boleh dijadikan bahan mentah untuk penghasilan biodiesel dan biojet bagi industri penerbangan.


“Menerusi usaha ini juga, kualiti minyak sawit boleh ditingkatkan dan isu bahan cemar dalam minyak sawit bertapis boleh ditangani bersama oleh pihak industri dan kerajaan dengan menggunapakai teknologi yang sedia ada," katanya.

LihatTutupKomentar