Hentikan ‘politiking’ yang merugikan rakyat, Tiong

Tiong King Sing yang dilantik sebagai Menteri Pelancongan berikrar

SIBU-- Ahli Parlimen Bintulu Datuk Seri Tiong King Sing yang dilantik sebagai Menteri Pelancongan berikrar memikul tanggungjawab itu sebaik mungkin demi kepentingan rakyat dan negara.


Menyedari ia bukan tugas mudah ketika Malaysia dan dunia mendepani cabaran ekonomi, beliau berkata tugas itu akan dijalankan bersungguh-sungguh bersama anggota Kabinet lain dalam Kerajaan Perpaduan pimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.


“Dalam masa sama, saya berharap warga Kementerian Pelancongan, agensi-agensi di bawahnya serta pemain industri dan pihak berkepentingan dapat membantu membangunkan industri ini ke tahap yang lebih tinggi,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini, lapor Bernama.


Menurutnya ia sekali gus dapat merealisasikan dasar kementerian dalam memacu sektor pelancongan dan kebudayaan yang berdaya saing serta lestari demi pembangunan sosioekonomi. 


Beliau juga berharap agar semua pihak menghentikan ‘politiking’ tanpa berkesudahan yang bukan sahaja merugikan rakyat bahkan negara.


Tiong yang juga Presiden Parti Demokratik Progresif (PDP), berkata apa yang paling utama pada ketika ini ialah membina semula Malaysia, membela nasib rakyat dan merancakkan pertumbuhan ekonomi selain meneruskan apa yang tertangguh.


Beliau yang juga Anggota Dewan Undangan Negeri Dudong turut menjunjung kasih Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah atas kebijaksanaan Seri Paduka yang telah membawa kepada penubuhan Kerajaan Perpaduan. 


Selain itu, beliau turut berterima kasih kepada Anwar dan Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg kerana memberi kepercayaan kepadanya untuk menggalas amanah sebagai Menteri Pelancongan.


Tiong pernah diumumkan dilantik sebagai Timbalan Menteri Perpaduan Negara dalam Kabinet pimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin pada Mac 2020, namun beliau telah menolak pelantikan tersebut.

LihatTutupKomentar