Empat lagi jadi mangsa korban banjir

Setakat malam tadi, mangsa banjir di Terengganu, Kelantan dan Pahang terus mencatatkan peningkatan berbanding petang semalam. Gambar kredit pembaca

KUALA LUMPUR-- Banjir yang melanda beberapa negeri hari ini, merekodkan empat lagi kematian yang melibatkan tiga wanita dan seorang kanak-kanak lelaki, dalam dua kejadian berasingan di Kelantan.


Kejadian pertama yang meragut nyawa tiga beradik perempuan dilaporkan berlaku di Kampung Bendang Surau dekat Morak, Tumpat, kira-kira jam 11.30 pagi tadi.



Ketua Polis Kelantan Datuk Muhamad Zaki Harun berkata mangsa Noor Fathiah Mohd Nadzir, 27; Sakinah, 29, dan Nurul Syazwani, 33, dikatakan sedang berjalan kaki mengharungi banjir di hadapan sebuah rumah, sebelum terkena renjatan elektrik dan meninggal dunia di tempat kejadian.


Dalam kejadian berasingan, seorang kanak-kanak lelaki berusia satu tahun tiga bulan, ditemukan lemas di Kampung Gual Tok Deh, Rantau Panjang, kira-kira 1 tengah hari semalam.



Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Rantau Panjang Shapawi Stapa berkata mangsa dikatakan bermain di anjung rumah bersama kakaknya, sebelum hilang di kawasan rumahnya yang sedang dilanda banjir, sebelum kemudiannya mayat mangsa ditemukan timbul dan terapung di permukaan air.

 

Semalam, seorang kanak-kanak perempuan berusia dua tahun menjadi korban pertama banjir di Terengganu, dalam kejadian di Kampung Apal.


Mangsa Nur Hilwa Idris Mohd Haris Zaifan yang dipercayai terjatuh di dalam air banjir dan dihanyutkan arus, ditemukan terapung dalam parit kira-kira 20 meter dari rumah tempat mangsa dikatakan terjatuh pada kira-kira 3.40 petang.


Dalam pada itu, Tenaga Nasional Berhad dalam satu kenyataan hari ini menasihatkan orang ramai supaya tidak menghampiri atau menyentuh pepasangan elektrik yang ditenggelami banjir, kerana dikhuatiri berlaku kebocoran arus.


TNB turut memaklumkan bekalan elektrik di kawasan terjejas banjir akan diputuskan sementara bagi tujuan keselamatan, dengan penyambungan semula akan dilakukan sebaik ia selamat dilakukan.


Setakat malam tadi,mangsa banjir di Terengganu, Kelantan dan Pahang terus mencatatkan peningkatan berbanding petang semalam manakala di Johor menunjukkan sedikit penurunan dan tiada perubahan jumlah mangsa di Perak.

Next Post Previous Post