3 pekerja warga Indonesia lemas dalam lurang pembetung

Tiga pekerja pemasangan kabel telekomunikasi meninggal dunia akibat lemas, pekerja pemasangan kabel telekomunikasi lemas dalam lubang pembetung kabel
Tiga mangsa warga Indonesia lemas dalam lubang pembetung kabel bawah tanah di Taman Sains Selangor 2, Cyberjaya, semalam. Gambar kredeit Bomba

PUTRAJAYA-- Tiga pekerja kontrak pemasangan kabel telekomunikasi warga Indonesia meninggal dunia akibat lemas dalam lubang pembetung kabel bawah tanah di Taman Sains Selangor 2, Cyberjaya, dekat sini, semalam.


Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM), Selangor Datuk Norazam Khamis, berkata menurut laporan awal, mangsa pekerja kontrak pemasangan kabel sebuah syarikat komunikasi itu pengsan dalam lubang pembetung dengan kedalaman lima meter ketika melakukan kerja pemasangan kabel.


“Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Cyberjaya) menerima panggilan kecemasan pada jam 3.17 petang sebelum kekuatan lapan anggota bergegas ke lokasi kejadian,” katanya dalam kenyataan di sini, lapor Bernama.


Katanya, kesemua mangsa berjaya dikeluarkan sebelum disahkan meninggal dunia di lokasi oleh pegawai perubatan Kementerian kesihatan (KKM).


Beliau berkata semua mayat mangsa dihantar ke Unit Forensik Hospital Serdang untuk bedah siasat dan kes diserahkan kapada polis untuk tindakan susulan.


Sementara itu, Ketua Polis Daerah Sepang, ACP Wan Kamarul Azran Wan Yusof dalam satu kenyataan malam ini, berkata siasatan mendapati kesemua mangsa merupakan rakan sekerja bersama pengadu dan sedang menjalankan kerja mencari lurang sebuah syarikat komunikasi.


Beliau berkata sebaik jumpa di bawah timbusan tanah, pengadu telah membuka penutupnya untuk memastikan pemiliknya, beliau telah mengarahkan ketiga-tiga warga Indonesia itu untuk tidak melakukan apa-apa dan terus ke lori untuk mengambil barangan.


“Selepas itu, pengadu terdengar jeritan daripada seorang lelaki Indonesia bernama Adnani yang menyatakan rakannya Febri dan Jufri telah terperangkap dalam ‘lurang berkenaan. Pengadu cuba menghalang Adnani yang berkeras mahu menyelamatkan rakannya namun gagal dan terperangkap sekali dalam ‘lurang’,” katanya.


Wan Kamarul Azran berkata pengadu berumur 31 tahun itu cuba menyelamatkan ketiga-tiga lelaki itu dengan menggunakan tali tetapi tidak berdaya kerana terhidu gas beracun (ammonia).


Hasil pemeriksaan polis mendapati tiada tanda kecederaan atau luka berlakunya jenayah pada badan mangsa dan kesemuanya telah dibawa ke Hospital Serdang bagi ujian saringan awal COVID-19 sebelum bedah siasat dijalankan.

LihatTutupKomentar