Berita baik berkaitan telekomunikasi menjelang Krismas untuk B40, M40
![]() |
"Tunggu Santa Klaus datang. Tapi kita memang lihat isu Internet dan caj telefon. Itu antara perkara yang saya prihatin.” Menteri Komunikasi dan Digital Fahmi Fadzil |
PUTRAJAYA— Kementerian Komunikasi dan Digital (KKD) bakal mengumumkan berita baik berkaitan telekomunikasi untuk membantu mengurangkan impak kos sara hidup khususnya bagi golongan B40 dan M40 menjelang Krismas ini.
Menteri Komunikasi dan Digital Fahmi Fadzil berkata beliau amat prihatin dengan isu Internet dan caj telefon yang merupakan antara keperluan asas rakyat.
"Tunggu Santa Klaus datang. Tapi kita memang lihat isu Internet dan caj telefon. Itu antara perkara yang saya prihatin," katanya kepada media selepas majlis amanat menteri bersama warga KKD di sini hari ini lapor Bernama.
Fahmi berkata terdapat permintaan di media sosial supaya beberapa perkara perlu diteliti dari segi kos dan mutu perkhidmatan.
"Saya tidak lihat isunya hanya sekadar harga, tapi isu rangkaian dan capaian itu adalah isu penting," katanya.
Beliau berkata beberapa kawasan menghadapi masalah perkhidmatan kerana bukan semua pengendali rangkaian mudah alih (MNO) beroperasi di kawasan terbabit.
"Kajian telah dilakukan supaya kaedah segera dan secara berpatutan diambil untuk membantu sama ada dari segi harga atau mutu perkhidmatan," katanya menambah kaji selidik sebuah agensi penguat kuasa menunjukkan 66 peratus responden mahu kerajaan memberi fokus kepada kos sara hidup.
Menyatakan KKD juga prihatin terhadap masalah yang melibatkan rangkaian 5G dan 4G, Fahmi berkata kerajaan komited ke arah usaha untuk menyediakan perkhidmatan yang bukan sahaja lebih murah, malah mempunyai kualiti lebih baik, dan perkara berkenaan akan dibincangkan dalam pertemuan akan datang dengan syarikat telekomunikasi.
Majlis amanat itu adalah yang pertama sejak beliau memulakan tugas sebagai Menteri Komunikasi dan Digital pada 5 Dis lepas.
Beliau berkata sesi townhall juga akan diadakan bagi memahami isu dihadapi warga kerja KKD bagi memupuk suasana kondusif ke arah mencapai objektif kementerian.
PERHATIAN: Pihak BorneoNework tidak akan bertanggungjawab langsung ke atas komen-komen yang diberikan oleh pembaca kami. Sila pastikan anda berfikir panjang terlebih dahulu sebelum menulis komen anda disini. Pihak BorneoNework juga tidak mampu untuk memantau kesemua komen yang ditulis disini. Segala komen adalah hak dan tanggungjawab anda sendiri.