Alice Lau, Ramli dipilih Timbalan Speaker Dewan Rakyat

Ahli Parlimen Lanang Alice Lau mengangkat sumpah sebagai Timbalan Speaker Dewan Rakyat di hadapan Yang Dipertua Dewan Rakyat Datuk Johari Abdul pada Mesyuarat Pertama Penggal Pertama Parlimen ke-15 di Bangunan Parlimen hari ini.

KUALA LUMPUR-- Ahli Parlimen Cameron Highlands Datuk Ramli Md Nor dan Ahli Parlimen Lanang Alice Lau dipilih sebagai Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat yang baharu. 


Ramli dan Alice dicadangkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim yang juga Pengerusi Pakatan Harapan (PH) mewakili kerajaan, masing-masing mendapat 148 dan 146 undi berbanding seorang lagi calon, Datuk Mas Ermieyati Samsudin yang mendapat 74 undi.


Terdahulu, Mas Ermieyati yang juga bekas Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang) dicalonkan Ahli Majlis Tertinggi Perikatan Nasional (PN) yang juga Setiausaha Agung PAS Datuk Seri Takiyuddin Hassan mewakili pembangkang.


Yang Dipertua Dewan Rakyat Datuk Johari Abdul berkata oleh kerana terdapat lebih daripada dua cadangan nama untuk jawatan berkenaan, maka undi bersurat oleh semua Ahli Parlimen diperlukan mengikut Peraturan Mesyuarat 6(2) dan 4(3) bagi memilih dua Timbalan Yang Dipertua.


Ditanya Takiyuddin sama ada setiap Ahli Dewan Rakyat boleh memilih lebih daripada seorang calon untuk jawatan itu bagi pengundian, Johari berkata setiap Ahli Parlimen hanya boleh mengundi dua calon.


Perkara 57 (1)(b) Perlembagaan Persekutuan menyatakan Dewan Rakyat hendaklah dari semasa ke semasa memilih dua orang Timbalan Yang Dipertua daripada kalangan Ahli Dewan Rakyat, lapor Bernama.


Sejurus selepas sesi pengundian itu, Johari turut menamakan Ahli Parlimen Larut Datuk Seri Hamzah Zainudin sebagai Ketua Pembangkang.


Menurutnya, beliau berpuas hati bahawa Hamzah telah mendapat sokongan untuk dilantik ke jawatan itu berdasarkan maklum balas yang diterimanya. 


"Mengikut Peraturan Mesyuarat 4A(3), saya hendak memaklumkan iaitu mengikut maklum balas yang saya terima, saya berpuas hati bahawa Datuk Seri Hamzah Zainudin, Ahli Parlimen Larut telah mendapat sokongan untuk dilantik sebagai Ketua Pembangkang," katanya.


Peraturan Mesyuarat 4A(3) menyatakan Ketua Pembangkang ertinya berhubungan dengan Majlis Mesyuarat, ahli Majlis Mesyuarat yang sedang menjadi Ketua Kumpulan pihak Pembangkang.

Next Post Previous Post