2 maut kemalangan 4 kenderaan di Jalan Bau-Lundu

Dua maut dalam kemalangan membabitkan empat kenderaan di Jalan Bau-Lundu di sini, hari ini. Gambar kredit Bomba

LUNDU--Dua maut dalam kemalangan membabitkan empat kenderaan di Jalan Bau-Lundu di sini, hari ini.


Mangsa yang disahkan maut oleh pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM)  ialah dua lelaki yang menaiki kenderaan Perodua Kenari.



Pemandu kenderaan Perodua Kenari seorang wanita pula mengalami kecederaan di kepala dan telah diberi rawatan awal oleh pihak EMRS sebelum diserahkan kepada pihak ambulans KKM untuk mendapat rawatan di Hospital Lundu.


Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kes itu jam 7.56 pagi dengan menggerakkan anggota Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lundu  ke lokasi kejadian.



"Kemalangan melibatkan empat buah kenderaan iaitu  Perodua Myvi, Perodua Kenari, Proton Saga dan lori treler.


"Mangsa yang meninggal dunia telah diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut," katanya dalam kenyataan hari ini.


Katanya, pemandu Perodua Myvi,Proton Saga dan lori treler, ketiga-tiga lelaki tidak mengalami sebarang kecederaan dalam kejadian itu.


"Setelah selesai mengeluarkan mangsa,anggota Bomba melakukan kerja-kerja pembersihan di lokasi kejadian.


"Setelah memastikan keadaan selamat,anggota bersama jentera bertolak balik ke balai, operasi ditamatkan jam 9.30 pagi," ujarnya.

Next Post Previous Post