Warga emas empat hari hilang ditemui selamat dalam jurang

Mangsa yang dilaporkan hilang di hutan Kampung Rian berjaya ditemukan selamat di bawah jurang sedalam enam meter. Gambar kredit Bomba

SELANGAU— Selepas empat hari, seorang wanita warga emas yang dilaporkan hilang di hutan Kampung Rian ditemukan selamat di bawah jurang sedalam enam meter, kira-kira 500 meter dari rumahnya, di sini petang tadi.


Indon Liau, 89, ditemui dalam keadaan lemah sekitar 2.58 petang oleh anggota pasukan mencari dan menyelamat (SAR).



Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kes itu jam 1.55 tengah hari tadi dengan menggerakkan anggota Balai Bomba dan Penyelamat(BBP) Selangau ke lokasi kejadian.


"Mangsa sudah empat hari tiada di rumah dan disedari cucunya yang kebetulan balik ke Selangau bersama suaminya.



"Setelah mencari di sekitar kawasan rumah dan tiada menjumpai mangsa, cucunya terus membuat aduan ke balai polis untuk meminta bantuan mencari mangsa," katanya dalam kenyataan hari ini.


Katanya, operasi SAR dimulakan polis dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) pada jam 2.15 petang.


"Setelah memeriksa keadaan mangsa,anggota SAR membawa mangsa keluar menggunakan pengusung  dan seterusnya mangsa di serahkan kepada pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) Selangau untk tindakan selanjutnya," ujarnya.

Next Post Previous Post