Untung bersih CMS melonjak kepada RM154.36 juta


KUALA LUMPUR— Cahya Mata Sarawak Bhd (CMS) mencatatkan lonjakan dalam untung bersihnya kepada RM154.36 juta bagi suku ketiga berakhir 30 Sept, 2022 daripada RM53.88 juta dalam tempoh yang sama tahun lepas.


Hasil meningkat sebanyak 50 peratus kepada RM278.39 juta daripada RM185.87 juta sebelumnya disebabkan oleh pengiktirafan muhibah negatif yang berlaku daripada pengambilalihan kumpulan Oiltools, pembalikan rosot nilai pada pelaburan dan pinjaman kepada syarikat bersekutu yang dicatatkan pada suku ketiga.


Kumpulan itu berkata pada sembilan bulan pertama berakhir 30 Sept, 2022, keuntungan bersih telah meningkat sebanyak 49 peratus kepada RM265.95 juta daripada RM179.06 juta yang dicatatkan pada sembilan bulan pertama 2021, manakala hasil meningkat kepada RM702.17 juta daripada RM572.93 juta sebelum ini.


“Mengenai keputusan syarikat bersekutu, sumbangan keuntungan yang dicatatkan adalah lebih tinggi pada sembilan bulan 2022 berbanding tempoh yang sama 2021, terutamanya disebabkan oleh prestasi kewangan syarikat bersekutu yang lebih baik sebanyak RM34.27 juta,” katanya dalam makluman kepada Bursa Malaysia hari ini, lapor Bernama.


Berkenaan prospek pula, ia berkata kos bahan yang semakin rendah akan menjadi petanda baik untuk tahun kewangan akan datang, dengan projek infrastruktur dan pembangunan luar bandar di Sarawak kekal utuh.


"Pihak pengurusan terus berpegang pada pandangan jangka panjang bahawa sebaik sahaja kesesakan logistik dan kos bahan mentah menjadi stabil, aktiviti akan meningkat semula dan memberi manfaat kepada perniagaan kumpulan," katanya.


CMS menambah kumpulan itu menjangkakan apabila selesainya pengambilalihan perniagaan Oiltools, ia akan memberi sumbangan kewangan yang positif pada suku akan datang.

Next Post Previous Post