Kanak-kanak maut dihempap tiang elektrik

Kanak-kanak maut dihempap longgokan tiang elektrik di Kampung Belukar Changlun di Bukit Kayu Hitam, Kanak-kanak maut dihempap tiang elektrik

ALOR SETAR—Seorang kanak-kanak lelaki maut manakala dua lagi rakannya ditemui dalam keadaan tidak sedarkan diri selepas dipercayai dihempap longgokan tiang elektrik di Kampung Belukar Changlun di Bukit Kayu Hitam dekat Kubang Pasu hari ini.


Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah Penolong Kanan Pesuruhjaya Bomba Sayani Saidon berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada 5.33 petang tadi.


“Pusat Gerakan Operasi Kedah menerima panggilan berhubung kejadian tiang elektrik terjatuh dan telah menghempap kanak-kanak. Dipercayai, ketiga-tiga mangsa telah bermain berdekatan tiang elektrik yang dilonggokkan di bahagian tepi jalan sebelum tiang berkenaan jatuh dan menghempap kesemua mangsa.


“Sebaik anggota bomba tiba, kesemua mangsa telah berjaya dibawa keluar oleh orang awam dengan menggunakan jengkaut. Dua mangsa yang tidak sedarkan diri telah dibawa ke Hospital Jitra manakala mangsa yang meninggal telah diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut,” katanya dalam kenyataan malam ini, lapor Bernama.


Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kubang Pasu Supt Rodzi Abu Hassan yang dihubungi mengesahkan kejadian berkenaan dan memaklumkan kesemua mangsa berusia antara 10 dan 11 tahun.


“Mangsa yang maut akibat kecederaan parah di bahagian kepala telah dibawa ke Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Setar untuk proses bedah siasat manakala dua lagi mangsa yang mengalami kecederaan di bahagian paha dan pinggang telah dibawa ke Hospital Jitra untuk rawatan lanjut,” katanya.

LihatTutupKomentar