Timba pengalaman di Parlimen Selayang sebelum Miri

Chiew Choon Man yakin dengan agenda reformasi dalam mengubah masa depan negara yang lebih baik. 

MIRI— Calon muka baharu Parti Keadilan Rakyat (PKR) di kerusi Parlimen Miri Chiew Choon Man pernah menimba pengalaman sebagai pembantu wakil rakyat di Selangor sebelum kembali ke Miri.


Chiew, 31, berasal dari Miri pernah menjadi pembantu kepada Ahli Parlimen Selayang, William Leong dari tahun 2017 hingga 2021.


“Dalam tempoh tersebut, saya menjalankan tugasan di kawasan, mengadakan program selain terlibat dalam urusan Parlimen seperti penggubalan undang-undang, perbahasan dasar dan membawa isu rakyat ke Parlimen.


Pada masa yang sama, saya kerap balik ke Miri untuk menjalankan program seperti forum, aktiviti sosial dan memberi bantuan bekalan harian kepada golongan yang memerlukan,” katanya dalam kenyataan hari ini.


Semalam, Presiden Pakatan Harapan (PH) Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan penyandang kerusi Parlimen Miri selama dua penggal Dr Michael Teo, tidak tersenarai calon bagi memberi laluan kepada Chiew.


Beliau yang juga Ketua Angkatan Muda Keadilan Sarawak yakin dengan agenda reformasi dalam mengubah masa depan negara yang lebih baik.


“Walaupun perjalanannya mengambil masa panjang dan berliku, namun saya yakin dapat membawa perubahan itu jika saya berpegang teguh kepada perjuangan,” katanya.


Chiew merupakan bekas penuntut SMK Chung Hua Miri dan SMK Lopeng Tengah sebelum melanjutkan pelajaran di Universiti Utara Malaysia di Kedah dalam bidang undang-undang.


Beliau berjaya menamatkan pengajian pada tahun 2016 dan peguam bertauliah pada 2018. Pada tahun 2020, beliau juga berjaya mendapat Ijazah Sarjana Undang-Undang dari Universiti Malaysia.


Sebagai peguam, Chiew pernah membantu mangsa yang mana identitinya disalahgunakan untuk menjalankan penipuan, menuntut pampasan yang adil bagi petani yang dikeluarkan dari tanah kerajaan dan menyelesaikan pelbagai pertikaian di kalangan orang awam.


Beliau menyertai PKR selepas mendapat inspirasi Tsunami Rakyat dan agenda reformasi pada 2008.

Next Post Previous Post