SPRM buka 8 kertas siasatan babitkan kakitangan kerajaan P.Pinang dari 2020-2022


GEORGE TOWN— Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah membuka sebanyak lapan kertas siasatan terhadap kakitangan kerajaan negeri berkaitan kesalahan rasuah, salah guna kuasa dan penyelewengan, sepanjang 2020 hingga 2022.


Ketua Menteri Chow Kon Yeow berkata kerajaan negeri terbuka bagi menerima sebarang siasatan berkaitan jenayah rasuah dan salah guna kuasa melibatkan Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Pulau Pinang (Exco), Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dan kakitangan kerajaan Negeri. 


"Sebarang bentuk kesalahan akan disiasat oleh agensi penguatkuasaan dan disabitkan kesalahan oleh pihak pendakwaan," katanya pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang di sini hari ini.


Beliau menjawab soalan Mohd Yusni Mat Piah (PAS-Penaga) yang ingin tahu mengenai jumlah kes SPRM yang disiasat di Pulau Pinang melibatkan Exco, ADUN dan kakitangan kerajaan Negeri, lapor Bernama.


Chow juga berkata bagi siasatan yang melibatkan kakitangan kerajaan negeri, Pihak Berkuasa Tatatertib (PBT) boleh mengambil tindakan di bawah Peraturan 44, Peraturan-Peraturan Penjawat Awam (Kelakuan dan Tatatertib) 1993 atau Peraturan-Peraturan Penjawat Awam (Kelakuan dan Tatatertib) (Pulau Pinang) 1997 bagi tujuan penahanan kerja sekiranya melibatkan prosiding jenayah.


Selain itu, katanya kerajaan negeri telah dan akan mengambil tindakan terhadap semua laporan lengkap SPRM berhubung salah laku melibatkan Exco, ADUN dan kakitangan kerajaan Negeri, sekiranya kes tersebut tidak disabitkan kesalahan di peringkat mahkamah.


"Kerajaan negeri tidak akan menyembunyikan sebarang maklumat berkaitan laporan SPRM," katanya. 

Next Post Previous Post