Rumah kedai terbakar, remaja melecur belakang badan

Kebakaran rumah kedai di pasar Sungai Maong Lama, Batu Tiga di sini hari ini.

KUCHING— Seorang lelaki melecur ketika cuba menyelamatkan diri dalam kebakaran sebuah rumah kedai di pasar Sungai Maong Lama, Batu Tiga di sini hari ini.


Dalam kejadian 11.59 pagi itu, mangsa yang dikenali sebagai Samuel, 19, melecur 30 peratus di bahagian belakang badan.



Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kes itu jam 11.59 pagi.


“Sejurus itu, anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Batu Lintang dengan bantuan BBP Tabuan Jaya dan BBP Padungan digerakkan ke lokasi kejadian.


“Sebaik tiba, pihak kami mendapati rumah kedai tiga tingkat berstruktur kekal telah terbakar keseluruhan di tingkat tiga manakala di tingkat dua terbakar 50 peratus.


"Seorang mangsa yang cedera dan melecur di bahagian belakang badan telah dihantar oleh unit EMRS Batu Lintang ke Hospital Umum Sarawak(HUS) untuk rawatan selanjutnya," katanya dalam kenyataan hari ini.


Katanya, rumah kedai itu disewa lima orang lelaki dewasa dan seorang wanita dewasa.


Punca kebakaran masih dalam siasatan.

Next Post Previous Post