PRU15: Tempoh 14 hari berkempen tamat pada 11.59 malam ini

Tempoh 14 hari berkempen Pilihan Raya Umum ke-15, Tempoh 14 hari berkempen tamat pada 11.59 malam ini
PRU kali ini mencatat sejarah apabila seramai 945 calon disahkan layak bertanding untuk merebut 222 kerusi Parlimen di seluruh negara, yang teramai dalam rekod PRU negara

KUALA LUMPUR—Tempoh 14 hari berkempen Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) yang bermula 5 Nov, akan tamat pada pukul 11.59 malam ini.


Ini bermakna selepas tempoh itu, segala aktiviti merayu undi tidak dibenarkan langsung terutamanya pada hari pengundian esok di 222 kerusi Parlimen, dan 59 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) di Perak, Pahang (42) dan Perlis (15), serta DUN Bugaya, Sabah.


Bagaimanapun status kerusi Parlimen Padang Serai masih belum dapat diputuskan setakat ini sama ada pengundian akan dapat dijalankan berikutan kematian penyandangnya yang juga calon Pakatan Harapan (PH), M. Karupaiya, selain Suruhanjaya Pilihan Raya akan bermesyuarat hari ini bagi menentukan status kerusi berkenaan, lapor Bernama.


Karupaiya sepatutnya menghadapi saingan enam penjuru menentang lima lagi calon iaitu Hamzah Abd Rahman (Pejuang), Datuk C. Sivaraajh (Barisan Nasional), Mohd Bakhri Hashim (Warisan), Datuk Azman Nasrudin (Perikatan Nasional) dan calon Bebas Sreanandha Rao pada PRU15, Sabtu ini.


SPR dalam kenyataan sebelum ini memaklumkan agensi itu akan menguatkuasakan subseksyen 26 (1) Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 yang melarang diadakan, memanggil atau mengaturkan sebarang bentuk perjumpaan, perhimpunan, pertunjukan, hiburan atau memberi ucapan terbuka.


Akta itu juga melarang membekalkan apa-apa alat pembesar suara bagi maksud politik serta melarang membuka pejabat atau barung di dalam bahagian pilihan raya semasa hari pengundian.


PRU kali ini mencatat sejarah apabila seramai 945 calon disahkan layak bertanding untuk merebut 222 kerusi Parlimen di seluruh negara, yang teramai dalam rekod PRU negara.


Dalam pada itu, Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berharap keadaan harmoni serta lancar semasa berkempen tanpa sebarang isu besar melibatkan provokasi atau keganasan melampau ketika ini, berterusan sehingga hari mengundi pada Sabtu.


Sementara itu, setakat semalam (17 Nov), Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah mengeluarkan sebanyak 2,148 permit bagi mengadakan ceramah sepanjang kempen PRU15. 


Pengarah Operasi PRU15 PDRM Datuk Seri Hazani Ghazali berkata 326 permit dikeluarkan di Sabah, Pahang (300), Sarawak (293), Perak (221), Johor (208), Kedah (180), Kelantan (147), Selangor (112), Negeri Sembilan (103), Melaka (94), Terengganu (89), Pulau Pinang (40), Perlis (23) dan Kuala Lumpur (12).


Selain itu, polis turut membuka 20 kertas siasatan iaitu masing-masing empat di Selangor dan Kuala Lumpur, Sarawak (tiga), Sabah (dua) dan masing-masing satu di Kedah, Perak, Melaka, Pahang, Negeri Sembilan, Kelantan dan Terengganu antaranya melibatkan kesalahan menghasut, ugutan jenayah, merosakkan bendera dan papan tanda milik parti politik serta calon.


PRU kali ini menyaksikan jumlah pengundi semakin ramai iaitu seramai 21.1 juta pemilih berbanding 14.9 juta pengundi pada PRU14.

LihatTutupKomentar
Cancel

PERHATIAN: Pihak BorneoNework tidak akan bertanggungjawab langsung ke atas komen-komen yang diberikan oleh pembaca kami. Sila pastikan anda berfikir panjang terlebih dahulu sebelum menulis komen anda disini. Pihak BorneoNework juga tidak mampu untuk memantau kesemua komen yang ditulis disini. Segala komen adalah hak dan tanggungjawab anda sendiri.