Polis Sarawak terima 8 laporan kes khianat, 2 kertas siasatan dibuka



KUCHING—Polis Sarawak menerima sebanyak lapan laporan berhubung kes khianat sepanjang kempen Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) dengan dua kertas siasatan dibuka sehingga semalam.


Jurucakap Media PRU-15, Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sarawak, Superintendan Douglas Nyeging Taong berkata, antaranya laporan diterima daripada seorang pengurus parti politik papan iklan parti Parlimen Bandar Kuching telah disimbah cat warna hitam di Jalan Ban Hock, Kuching . 


Katanya, pelapor telah pergi ke lokasi dan mendapati satu papan iklan kempen tersebut terdapat kesan cat warna hitam, kes disiasat di bawah Seksyen 427 Kanun Keseksaan. 


"Kita turut menerima rampasan ke atas empat bungkusan yang mengandungi cat hitam yang digunakan untuk menyimbah papan iklan milik sebuah parti politik bersabit kes di atas.


"Laporan turut diterima berhubung beberapa bendera kecil berukuran 1x2 kaki yang diikat dengan tali digantung ditepi jalan telah dipotong dan bendera besar seperti telah ditumbangkan oleh orang yang tidak diketahui di Jalan Utama Kampung Bako," katanya dalam kenyataan hari ini.


Katanya, seorang ahli Gabungan Parti Sarawak (GPS) membuat laporan pada jam 8.45 malam tadi, selepas poster GPS yang dipasang oleh mereka telah dijatuhkan oleh individu yang tidak dikenali. 


"Pelapor percaya perbuatan tersebut merupakan cubaan untuk sabotaj berlaku di Tanjung Kidurong Bintulu dan disiasat di bawah Seksyen 427 kanun keseksaan.


"Laporan tangkapan keatas seorang lelaki bersabit kes yang berlaku pada 13 November atas kesalahan khianat di daerah Kuching juga diterima pihak polis," katanya.


Menurutnya lagi, satu lagi kes yang dilaporkan ialah seorang individu sebuah parti politik yang telah menerima whatsapps dari orang awam dan mendapati video berdurasi 1 minit 29 saat yg dibuat oleh seorang calon dari partinya dalam bahasa Cina telah disunting dan diputar belit dari fakta asal, kes berlaku di Kuching.


"Kes yang turut dilaporkan pelapor ialah semasa membuat pemantauan bendera parti kempen PRU-15 di kawasan Kampung Melayu, Lubok Antu, telah terlihat satu sepanduk yang bertulis “PN=PAS Nasional X Lubok Antu Enggai !!! Parti Malaya”. 


"Sepanduk ini berunsur provokasi dan berunsur memecah belahkan sesuatu kaum di Malaysia," katanya.


Katanya, wakil sebuah parti politik bagi Parlimen Hulu Rajang, semasa membuat rondaan mendapati banner calon GPS Hulu Rajang telah ditanggalkan oleh individu yang tidak dikenali, perkara tersebut sudah dua kali berlaku di tempat yang sama.


"Sehingga semalam pihak telah meluluskan sebanyak 278 permit ceramah dan kempen kepada parti-parti politik di seluruh negeri Sarawak," katanya.

Next Post Previous Post