PH dakwa peroleh majoriti mudah bentuk kerajaan

Menurut Anwar, gabungan itu telah mempunyai bilangan kerusi yang cukup untuk membentuk kerajaan Persekutuan yang baharu.

PETALING JAYA-- Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Datuk Seri Anwar Ibrahim mendakwa gabungan itu telah mempunyai bilangan kerusi yang cukup untuk membentuk kerajaan Persekutuan yang baharu. 


Beliau berkata PH telah mencapai persefahaman dengan beberapa pihak bagi memperoleh majoriti melebihi 112 kerusi namun tidak mendedahkan rakan kerjasama yang menyokong gabungan itu untuk membentuk kerajaan. 


“PH telah membentuk blok terbesar dalam kedudukan kerusi di Parlimen bersama MUDA dan kami mendapati tiada parti lain yang memperoleh majoriti mudah.


“Inilah gabungan pertama daripada blok terbesar yang telah memperoleh jumlah mencukupi untuk bentuk kerajaan dengan suara majoriti,” katanya pada sidang media di sini pagi ini, lapor Bernama.


Anwar juga menolak kenyataan Pengerusi Perikatan Nasional Tan Sri Muhyiddin Yassin bahawa gabungan politik itu berjaya membentuk kerajaan.


“Itu tidak terjadi, ia adalah mustahil kerana kami mempunyai angka dan akan memaklumkan kepada Istana Negara,” katanya.


Ditanya bila dokumen pembentukan kerajaan PH akan dihantar ke Istana Negara, beliau berkata perkara itu akan dibuat sebaik sahaja ia dilengkapkan.

Next Post Previous Post