Notification

×

Iklan

Iklan

Petronas naikkan nilai ambang kontrak bagi syarikat Sarawak

| November 01, 2022 WIB | 0 Views Last Updated 2022-11-01T08:23:38Z

KUCHING-- Petroliam Nasional Bhd (Petronas) bersetuju untuk menaikkan nilai ambang kontrak bagi syarikat Sarawak yang membabitkan sektor huluan dan hiliran, kata Timbalan Premier Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan. 


Beliau berkata nilai ambang tersebut akan dinaikkan daripada RM10 juta kepada RM50 juta dan daripada RM5 juta kepada RM20 juta menjelang 2030, untuk sektor huluan dan hiliran, lapor Bernama.


“Selain daripada itu, mereka turut bersetuju untuk meningkatkan keutamaan kod Petronas SWEC (Kategori Standard Bidang Kerja dan Kelengkapan) untuk kontraktor Sarawak daripada garis dasar 63 kategori kepada 600 kategori menjelang 2030,” katanya pada majlis menandatangani perjanjian jual beli Terminal Gas Petroleum Cecair (LPG) Bintulu di sini hari ini. 


Awang Tengah, yang juga Menteri Pembangunan Bandar dan Sumber Asli Kedua Sarawak berkata sebelum ini, Petronas telah bersetuju bahawa kerja-kerja kontrak dalam sektor minyak dan gas di perairan negeri perlu diberikan kepada syarikat Sarawak, dengan garis asas tahunan RM2.1 bilion. 


Beliau berkata jumlahnya akan dinaikkan secara berperingkat bergantung kepada jumlah kerja dan keupayaan sektor swasta tempatan.


Majlis pemeteraian itu melibatkan syarikat tempatan PUSAKA Integrated Resources Sdn Bhd, dimiliki oleh Sarawak Timber Industry Development Corporation (STIDC), membeli terminal LPG Bintulu daripada anak syarikat Petronas, Petronas Dagangan Bhd.  


Awang Tengah berkata pengambilalihan itu penting berikutan langkah tersebut akan meningkatkan penyertaan tempatan, sekali gus meningkatkan sektor minyak dan gas negeri.


Pengambilalihan itu bermakna kini terdapat dua terminal -- dengan satu lagi terletak di Kuching -- dimiliki dan dikendalikan oleh anak syarikat STIDC.

×
Berita Terbaru Update