Peng Soon-Yee See keluar BAM

Pasangan beregu campuran Chan Peng Soon dan Cheach Yee See meninggalkan Persatuan Badminton Malaysia (BAM) pada 30 Nov ini. Gambar kredit FB BAM

KUALA LUMPUR—Bahagian beregu campuran skuad kebangsaan semakin mengecil dan merisaukan, apabila tiga pemain membuat keputusan untuk meninggalkan Persatuan Badminton Malaysia (BAM) pada 30 Nov ini. 


Setiausaha Agung BAM Datuk Kenny Goh hari ini mengesahkan pemenang pingat perak Olimpik Rio 2016 Chan Peng Soon, 34, dan pasangannya Cheah Yee See, 26, telah membuat keputusan untuk keluar dari pasukan kebangsaan, lapor Bernama.


Sebelum ini, pemenang pingat emas Sukan SEA Hanoi, Peck Yen Wei, 26, telah pun disahkan mengangkat kaki dari BAM selepas 10 tahun menabur bakti bersama persatuan itu, antaranya kerana kecederaan.


Kenny berkata pihaknya telah berusaha dengan mengadakan perbincangan dengan Peng Soon untuk kekal di Akademi Badminton Malaysia (ABM), namun pemain itu berasa lebih baik untuk mengundur diri dan fokus kepada akademiknya.


“Beliau berasa ini adalah masa yang sesuai untuk keluar. Walaupun Peng Soon tak berapa gembira dengan prestasinya, tetapi beliau telah banyak beri sumbangan dalam membantu pemain muda di BAM. Kita juga cuba pujuk Yee See untuk kekal dengan memberitahu perancangan untuk beliau selepas ini.


“Beliau kemudian meminta masa untuk fikir dan kita baru terima keputusannya yang beliau tetap mahu keluar. Beliau tidak memberi sebab, cuma beliau rasa faktor umur dah sampai masa untuk keluar,” katanya pada sidang media di ABM.


Sementara itu, Pengarah Kejurulatihan Beregu BAM Rexy Mainaky optimis bahawa pihaknya mempunyai masa untuk melahirkan pasangan beregu campuran yang mampu beraksi di Olimpik 2024 dengan tempoh kelayakan ‘Race to Paris’ bakal berlangsung dari 1 Mei depan hingga 24 April, 2024.


“Kita bukannya tiada hala tuju, kita ada pelan dan perancangan serta mempunyai beberapa pemain dari bahagian beregu lelaki dan wanita yang boleh ditampilkan dalam acara campuran. Kita dah lihat keupayaan beberapa pasangan dan masih ada beberapa kejohanan untuk menilai gandingan baharu sebelum Mei.


“Sebelum Olimpik, kita boleh dapatkan pasangan yang kita mahu, kita nak dapatkan satu atau dua pasangan untuk pergi jauh. Kalau tak dapat untuk 2024, boleh untuk 2028 kerana kita ada ramai pemain muda,” katanya.


Selepas kehilangan tiga pemain itu, kem BAM kini mempunyai pilihan seperti Chen Tang Jie, Hoo Pang Ron, Choong Hon Jian, Loo Bing Kun, Toh Ee Wei, Yap Ling dan Yap Cheng Wen di bahagian beregu campuran.


Peng Soon-Yee See yang mula digandingkan pada Jun lepas, bergelut untuk membentuk kombinasi ampuh, yang menyaksikan mereka tersingkir pada pusingan pertama di Terbuka Denmark dan Terbuka Perancis baru-baru ini, yang memaksa mereka menarik diri dari Terbuka Hylo di Jerman pada minggu ini.


Pencapaian terbaik mereka setakat ini adalah suku akhir Terbuka Vietnam, September lepas.


Enam kejohanan sebelum itu - Masters Indonesia, Terbuka Indonesia, Terbuka Malaysia, Masters Malaysia, Terbuka Singapura dan Terbuka Jepun - menyaksikan pasangan ini tersingkir di pusingan awal.


Sejak Peng Soon kembali ke BAM selepas menamatkan gandingan 13 tahun bersama Goh Liu Ying, beliau telah mencuba gandingan bersama Valeree Siow dan Toh Ee Wei, sebelum dipasangkan dengan Yee See.


Semalam, Liu Ying yang meraih perak di Rio bersama Peng Soon, turut mengumumkan bakal menggantung raket selepas Terbuka Malaysia 2023, Januari depan. Liu Ying kini beraksi bersama Low Juan Shen sebagai pemain profesional.

Next Post Previous Post